Macam nak kiamat, bumbung diterbangkan ribut

Macam nak kiamat, bumbung diterbangkan ribut

JUNAIDAH JAMIL menerima sumbangan yang disampaikan Mohd. Jafni dan Mohd. Hairi yang melawat rumahnya di Kampung Datuk Sulaiman Menteri, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: “Terasa dunia macam nak kiamat.”

Itulah kata-kata Junaidah Jamil, 49, menggambarkan ketakutan yang dialaminya bersama ibu dan anak perempuannya ketika rumah mereka di Kampung Datuk Sulaiman Menteri, di sini yang dilanda ribut pada minggu lalu.

Ketika kejadian, dia dan ibunya, Norliah Abu Bakar, 69, serta anaknya, Puteri Nur Ain Norzan, 19, sedang berbual-bual dalam bilik tidur apabila mereka terdengar bunyi dentuman kuat dari bahagian ruang tamu lalu memberanikan diri untuk melihat apa yang terjadi.

“Apabila sampai sahaja ke ruang tamu, saya dapati bumbung rumah sudah tidak ada, saya boleh nampak langit kehitaman selain deruan angin yang kuat menggegarkan rumah.

“Tidak lama selepas itu, hujan sangat lebat, kami tiga beranak sangat panik cepat-cepat keluar dari rumah kerana khuatir kerosakan lain yang akan berlaku,” katanya semasa menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd.Jafni Md Shukor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Mohd. Hairi Mad Shah, di sini.

Buat sementara waktu, Junaidah, ibu dan anaknya akan menetap di inap desa berhampiran kerana ibunya masih  trauma dengan kejadian yang menakutkan itu.

Junaidah yang bekerja sebagai peniaga itu hanya sempat menyelamatkan barangan berharga kerana mahu memastikan keselamatan Ibu serta anak perempuannya dan menanggung kerugian kira-kira RM12,000 apabila banyak perabot dan barangan rumah rosak.

Kejadian itu turut membawa berita duka buat seorang lagi anak perempuannya, Puteri Nur Aishah, 21, yang bakal melangsungkan perkahwinan di rumah itu tidak lama lagi apabila ada pakaian dan aksesori busana pengantin yang akan dipakainya pada hari bahagianya rosak dalam kejadian tersebut.

Walaupun keadaan rumah pusaka itu yang masih belum dibaik pulih, Puteri Nur Aishah tidak berhasrat untuk menangguhkan perkahwinan dan majlis itu akan tetap berlangsung pada 23 Disember ini.

“Majlis perkahwinan akan diteruskan mengikut jadual kerana semua perkara sudah diaturkan seperti tempahan katering, khemah malah undangan juga sudah dibuat.

“Bakal suami yang merupakan seorang askar juga susah untuk mendapatkan cuti. Jadi lebih baik majlis itu diteruskan juga,” kata operator kilang itu.

Sementara itu, dalam kunjungan itu, Mohd. Jafni dan Mohd. Hairi masing-masing menyampaikan sumbangan RM1,000 daripada Yayasan Bandaraya Johor Bahru dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

Mohd. Jafni memberitahu, pihaknya akan cuba mendapatkan bantuan kewangan lain daripada pusat bencana daerah dalam masa terdekat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN