Longgokan ayat suci al-Quran ditemui dibuang - Utusan Malaysia

Longgokan ayat suci al-Quran ditemui dibuang

AHMAD Zaki Hamzah (kanan) menunjukkan longgokan perhiasan ayat suci al-Quran yang ditemui di kawasan tempat pembuangan sampah haram di Jalan P/AM 2 Kawasan Perindustrian Arab Malaysia, Nilai, Seremban tengah hari tadi.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kesucian ayat suci al-Quran tercemar apabila ditemui dalam longgokan dipercayai dibuang oleh pihak industri di kawasan tempat pembuangan sampah haram di Jalan P/AM 2 Kawasan Perindustrian Arab Malaysia, Nilai di sini tengah hari tadi. 

Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Ahmad Zaki Hamzah berkata, longgokan ayat suci al-Quran itu ditemui oleh pekerja Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Awam (SWCorp) ketika membuat pemeriksaan berkala pada pukul 12.15 tengah hari sebelum memaklumkan kepada pihaknya untuk tindakan lanjut. 

“Hasil maklumat tersebut tiga agensi iaitu JHEAINS, SWCorp dan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) telah pergi ke lokasi dan mendapati memang terdapat longgokan ayat suci al-Quran.

“Pemeriksaan mendapati ayat al-Quran yang dibuang itu dalam bentuk hiasan yang dibingkaikan termasuk ayat tiga qul dan doa 1,000 dinar,” katanya ketika ditemui di lokasi penemuan longgokan ayat suci al-Quran di Jalan P/AM 2 Kawasan Perindustrian Arab Malaysia, Nilai di sini. 

Menurut Ahmad Zaki, longgokan kira-kira hampir tujuh tan ayat suci al-Quran tersebut telah diangkut menggunakan lori roll-on-roll-off (RORO) milik MBS untuk tujuan pelupusan mengikut hukum syarak. 

“Setakat ini, longgokan tersebut akan ditempatkan sementara di Pusat Dakwah Islamiah, Paroi di Seremban sebelum dilupuskan.

“Tindakan membuang ayat suci al-Quran ini boleh dikenakan tindakan di bawah Sesyen 50  Enakmen Jenayah Syariah Negeri Sembilan 1992 iaitu mencela, menghina, dan sebagainya agama Islam,” katanya.

Jelas Ahmad Zaki, siasatan awal JHEAINS tidak menolak kemungkinan perbuatan itu dilakukan oleh pihak industri atau peniaga sekitar Nilai 3 di sini.

“Kalau kita tengok ini bukan perbuatan individu, tidak ada orang simpan bingkai ayat al-Quran banyak macam ini.

“Mereka ambil jalan mudah longgokan di sini, sepatutnya ia dilupuskan mengikut hukum syarak bagi menjaga kemuliaan ayat al-Quran,” katanya.

Tambah beliau, pihak JHEAINS menyeru peniaga yang menjual hiasan ayat suci al-Quran terutama di Nilai untuk berhubung dengan kami untuk melupus atau memuliakan ayat al-Quran ‘terbuang’.

“Sekiranya tidak tahu berhubung dengan kami, bukan dibuang atau dibiarkan di tepi jalan sesuka hati.

“Difahamkan penemuan longgokan ini bukan pertama kali, sebaliknya pernah berlaku tujuh tahun lalu di Nilai, namun saya percaya ini bukan amalan biasa yang dilakukan oleh pihak industri atau peniaga,” katanya lagi.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya