fbpx

Lima minit punca Sepanyol hilang arah

SKUAD Sepanyol menjalani latihan semalam menjelang pertemuan menentang Maghribi dalam perlawanan 16 terakhir. - AFP

DOHA: Jurulatih Sepanyol, Luis Enrique menyalahkan lima minit yang menyebabkan pasukannya ‘hilangan kawalan penuh’ ekoran kekalahan mengejut 2-1 kepada Jepun, Khamis lalu, yang menyebabkan pasukan dari Asia itu layak ke pusingan 16 terakhir sebagai juara Kumpulan E.

La Roja, antara pasukan pilihan yang diramal memenangi kejohanan bola sepak berprestij itu berkemungkinan besar ter­singkir jika Costa Rica menang dalam pertembungan dengan Jerman, meskipun skuad Los Ticos itu akhirnya tewas 4-2.

Alvaro Morata berhasil mele­takkan kedudukan Sepanyol di hadapan, namun dua jaringan dalam masa empat minit dari Jepun pada awal separuh masa kedua bagaimanapun menghidupkan sensasi dan tekanan.

“(Ia adalah) lima minit yang kurang kawalan, panik, malah mereka menjaringkan dua gol menentang kami dan jika mereka perlu menjaringkan dua lagi, mereka tidak akan teragak-agak untuk melakukan, saya pasti.

“Ini adalah Piala Dunia, apabila pasukan seperti Jepun tidak berdepan kerugian, mereka pertaruhkan semuanya dan melepasi kami seperti kapal terbang.

“Keadaan sebelumnya terka­wal, sehinggalah Jepun memutuskan untuk membaiki kedudukan mereka di atas padang dan menewaskan kami,” katanya.

Ritsu Doan menjaringkan gol penyamaan untuk Jepun pada minit ke-48, sebelum Ao Tanaka meledak gol kedua kontroversi.

Bola dilihat terkeluar sebelum Kaoru Mitoma menyilang bola kepada Tanaka, namun selepas pemeriksaan VAR yang panjang oleh pengadil, mereka memberikan gol kepada Jepun.

Luis Enrique bagaimanapun tidak bersetuju dengan keputusan itu dan berpendapat hasil pemeriksaan VAR itu sebagai ‘telah diusik’ dan dimanipulasi.

“Sekiranya berdepan Maghribi nanti kita akan mendapat tuah untuk mendahului, kita akan pertaruhkan semuanya,” katanya. – Agensi/UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN