ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri mendesak kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan semula Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) bagi menangani isu perumahan mewah tidak terjual, khususnya di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, program MM2H itu dilihat dapat membuka ruang kepada peserta program itu untuk membeli rumah mewah berharga RM500,000 ke atas yang tidak terjual.
Beliau berharap pihak kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan semula program tersebut yang dilihat wajar dilaksanakan semula setelah dihentikan sejak tiga tahun lalu.
“Mungkin di peringkat kerajaan negeri sudah ada (cadangan secara rasmi) tetapi kalau menteri yang baharu ini, saya akan suarakan perkara yang sama,” katanya ditemui semasa menghadiri Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, hari ini.
Pada tahun lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, program berkenaan dilihat semula supaya setiap peserta di bawah program itu yang diterima bertujuan sama-sama memajukan negara.
Beliau berkata, peserta baharu program MM2H perlu mematuhi dasar baharu bagi memastikan hanya yang berkualiti dan sah serta memberi sumbangan pertumbuhan ekonomi dibenarkan menetap di negara ini.
Dalam pada itu, Mohd. Jafni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai berkata, kira-kira 80 peratus rumah tidak terjual di negeri ini adalah jenis pangsapuri khidmat (service apartment) yang berharga lebih setengah juta.
Baki 20 peratus pula daripada jenis rumah mewah dan banglo yang terletak di kawasan bandar raya ini.
“Kita tidak boleh menyekat pembinaan pangsapuri servis ini, jika pembinaannya berada dalam kawasan yang memang banyak permintaan,” katanya.
Pada 4 September lalu, bekas Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Mohd. Shahar Abdullah memaklumkan lebih 34,000 kediaman tidak terjual siap dibina bernilai RM21.7 bilion dicatat separuh pertama 2022 dengan Johor kekal menjadi penyumbang tertinggi. – UTUSAN










