10 pelajar ditahan disyaki merusuh

10 pelajar ditahan disyaki merusuh

POLIS DIRAJA MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Seramai 10 pelajar lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes disyaki merusuh yang mengakibatkan empat remaja cedera dalam kejadian di ladang kelapa sawit, Jalan Sri Delima, Merotai Besar, di sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt berkata, semua suspek berusia antara 14 hingga 17 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2 petang semalam.

Katanya, tangkapan dilakukan dalam operasi oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau bersama anggota Balai Polis Bombalai.

“Siasatan awal mendapati mangsa bersama tiga rakannya sedang berjalan melalui jalan pintas menuju ke Masjid Merotai Besar bagi menunaikan Solat Jumaat sebelum didatangi sekumpulan pelajar yang bertanyakan mengenai keberadaan dua individu lain.

“Selepas mangsa memaklumkan tidak mengetahui lokasi individu yang dicari, sekumpulan pelajar terbabit dipercayai bertindak menyerang dan memukul mangsa dan rakannya secara beramai-ramai,” katanya dalam kenyataan.

Akibat daripada serangan itu, mangsa mengalami kecederaan dan kesakitan pada bahagian muka, kepala, dada serta rusuk, manakala tiga lagi mangsa turut mengalami kecederaan sebelum tampil membuat laporan polis.

“Semua suspek masih ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN