Komitmen MAINS bantu asnaf keluar daripada senarai penerima zakat - Utusan Malaysia

Komitmen MAINS bantu asnaf keluar daripada senarai penerima zakat

ZAINAL Said (empat dari kiri) bergambar bersama para penerima anugerah pada majlis penutup Program Ikon Asnaf MAINS 2022 di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) berharap lebih ramai penerima bantuan zakat dapat dikeluarkan daripada senarai asnaf melalui pelbagai program yang disusun dan disediakan oleh agensi tersebut. 

Setiausaha MAINS, Zainal Said berkata, antaranya ialah menerusi program keusahawanan secara bersepadu yang membolehkan asnaf terbabit mendapat latihan dan bantuan secara berterusan. 

Katanya, sepanjang tahun ini seramai 137 orang asnaf telah mengambil bahagian dalam Program Pembangunan Keusahawanan anjuran MAINS.

“Bidang yang ditawarkan ialah kursus My Bidan, ternakan kelulut, usahawan Quickwin Asnaf (masakan gerai makan), program pemasaran melalui WhatsApp dan bekam.

“Selain itu, terdapat juga program peningkatan kualiti persembahan produk usahawan, kursus kemahiran membaiki telefon dan kursus usahawan apam balik yang melibatkan kerjasama dengan pelbagai agensi termasuk kerajaan dan swasta,” katanya selepas merasmikan penutup Program Ikon Asnaf MAINS 2022 di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai dua orang asnaf menerima anugerah sebagai ikon usahawan dan tiga pelajar universiti sebagai ikon pendidikan.

Menurut Zainal, seramai 893 orang asnaf telah menerima bantuan keusahawanan MAINS secara one-off melibatkan peruntukan RM1.7 juta iaitu bantuan wang tunai dan  keperluan peralatan keusahawanan. 

ZAINAL Said (tengah) menyampaikan anugerah Ikon Usahawan kepada Rohaida Mustapa pada majlis penutup Program Ikon Asnaf MAINS 2022 di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD SHAHJEHAN MAAMIN.

 Bagi bantuan pendidikan, tambahnya, MAINS telah memperuntukkan RM4.38 juta di pelbagai peringkat institusi pendidikan rendah, menengah dan pengajian tinggi serta vokasional. 

 “MAINS turut menyediakan bantuan tambahan kepada pelajar institusi pengajian tinggi di bawah Program MAINS-PEKA (Prihatin Ekonomi dan Keperluan Asas Asnaf) sebanyak RM500 setiap seorang kepada golongan asnaf dan pelajar yang memerlukan melibatkan jumlah RM1.1 juta,” ujarnya. 

 Jelasnya, MAINS sentiasa mencari jalan supaya lebih ramai golongan asnaf mempunyai peluang untuk meningkatkan keupayaan diri dan tidak berterusan bergantung kepada bantuan zakat.

“Insya-Allah kami berharap mereka mampu keluar dari kelompok asnaf zakat hingga menjadi pembayar zakat pada masa depan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya