Khairul Firdaus enggan ulas gesaan kosongkan kerusi Parlimen

Khairul Firdaus enggan ulas gesaan kosongkan kerusi Parlimen

Khairul Firdaus Akbar Khan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang bertindak meninggalkan parti Bersatu menyerahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul untuk memutuskan tentang kedudukan mereka.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, kini semuanya terserah kepada Johari untuk membuat keputusan..

Walau bagaimanapun, beliau enggan mengulas tentang kesediaan mahupun keperluan mereka mengosongkan kerusi Parlimen yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pada PRU-15, Khairul Firdaus bersama tiga lagi calon kerusi Parlimen Bersatu di Sabah iaitu Datuk Armizan Mohd. Ali (Papar), Datuk Jonathan Yasin (Ranau) dan Datuk Matbali Musah (Sipitang) bertanding di bawah payung GRS.

Kelmarin, Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee menyatakan, kepimpinan Bersatu telah memohon kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk memaklumkan tentang pengosongan kerusi empat bekas ahli Parlimen Bersatu kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 21 hari.

Ronald berkata, keahlian empat ahli Parlimen itu sebagai anggota Bersatu telah gugur mengikut perlembagaan parti Bersatu dan perkara ini telah dimaklumkan melalui surat bertarikh 21 Disember.

Pada 10 Disember lalu, bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan kesemua pimpinan Bersatu Sabah keluar daripada parti tersebut dan menjadi ahli GRS secara langsung dan akan menyertai parti baharu yang akan ditubuhkan kemudian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×