Keutamaan Kabinet Anwar

Keutamaan Kabinet Anwar

DATUK Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Kabinet Khas di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya, semalam. – Pejabat Perdana Menteri
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Semakan semula penganugerahan rangkaian 5G yang didakwa tidak dilakukan menerusi tender yang telus adalah antara tindakan yang akan diberi keutamaan oleh kerajaan bagi mewujudkan sistem tadbir urus yang baik tanpa berkompromi soal penyelewengan dan rasuah.

Perdana Menteri turut me­ngu­langi komitmen jemaah menteri bersetuju untuk memotong 20 peratus gaji bulanan masing-masing sehingga ekonomi negara pulih.

Selain itu, kerajaan juga tidak mahu ada kecenderungan untuk mengutip dana haram de­ngan mengekalkan jumlah cabutan khas perjudian pada tahap lama iaitu lapan kali mulai 1 Januari 2023 berbanding 22 kali yang dipersetujui Jemaah Menteri Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.

Perkara itu ditegaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Kabinet Khas beliau semalam.

Kesemua 27 menteri hadir da­lam mesyuarat tersebut kecuali Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang dilaporkan media berada di Abu Dhabi atas urusan yang tidak dinyatakan.

KOMPROMI

Beliau turut berkeyakinan pasukan Kabinetnya tidak ada kompromi isu kleptokrasi dan meyakini pasukan beliau berazam memastikan peraturan ketat dipatuhi serta tadbir urus yang baik.

Menurut Anwar, antara tindakan segera lain yang diputuskan ialah soal pengurusan bencana banjir dipertanggungjawabkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Ini termasuk soal langkah segera yang perlu diambil bagi menghadapi bencana itu, tugas memantau dan membuat persiapan rapi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusoff pula diberi peranan untuk menilai semua perkara berkaitan MA63 untuk menyegerakan isu-isu yang tersangkut agar dapat diselesaikan sebagaimana menimbulkan keresahan daripada ahli-ahli Parlimen Sabah dan Sarawak.

Sekiranya perlu, kata beliau, perkara itu harus dipantau dan dikemukakan cadangan supaya penyelarasan daripada Persekutan dan negeri itu dapat dilakukan termasuk hal-hal jurang pembangunan antara kawasan mewah dengan di pedalaman.

“Begitu juga masalah pembangunan. Kita tak mahu terlalu ketara kesenjangan pembangunan di kawasan mewah dan kawasan paling miskin, pedalaman Sabah dan Sarawak dan beberapa kawasan terpencil Semenanjung.

“Perkara itu akan diberi tugas kepada Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

“Tugas penyelarasan ini juga diberikan kepada Fadillah untuk Sabah dan Sarawak, manakala di bawah bidang kuasa Zahid untuk kawasan Semenanjung,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di sini semalam.

TELUR

Berhubung isu kekurangan telur di pasaran, Anwar mahu jumlah bahan keperluan itu di pasaran mencukupi malah harga dikurangkan tanpa ada lagi kebergantungan kepada kartel.

Beliau mengarahkan Kementerian Pertanian dan Ke­terjaminan Makanan melaksanakan arahan dengan segera supaya apa yang diputuskan oleh Jemaah Menteri itu dapat direalisasikan dengan secepat mungkin.

Pada masa sama, Perdana Menteri turut memberi jaminan segala perjanjian atau kontrak yang baik dari kerajaan terdahulu tidak ada masalah untuk diteruskan termasuk isu Generasi Penamat (GEG).

“Ini kerana kerajaan ini bukanlah kerajaan yang baru ditubuhkan, tetapi meneruskan sistem yang ada,’’ kata beliau.

Berhubung penubuhan Su­ruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perbelanjaan RM600 bilion tanpa tender oleh kerajaan terdahulu, Perdana Menteri berkata, ia belum dibincangkan oleh Jemaah Menteri tetapi Kabinet akan membuat penilaian termasuk ke mana dana itu disalurkan.

Katanya, Kabinet juga me­nyerahkan kepada pihak ber­kuasa menyiasat lanjutan dakwaan salah laku berkenaan.

“Saya tidak cenderung pe­ribadi untuk menumpukan terlalu banyak perkara lama, saya nak tumpu urus ekonomi, sambutan sangat baik dan ramai (negara) minta pelaburan India, China Amerika Syarikat dan Eropah. Saya tumpu untuk jana ekonomi.

“Berhubung Bajet 2023, tentunya akan diteliti semula, saya fikir sebahagian besar diterima, tetapi ada orang buat andaian kita menentang semua. Tidak, apa yang baik itu boleh diteruskan, beri ruang kepada Kementerian Kewangan dan jemaah menteri untuk beri input mereka apa yang boleh diubah suai dan diperbaiki,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×