Kalah mati lebih sukar – Messi

Kalah mati lebih sukar – Messi

Lionel Messi dicabar dua pemain Poland dalam saingan Kumpulan C, kelmarin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Bintang Argentina, Lio­nel Messi memberi amaran kepada rakan sepasukannya bahawa mereka akan menempuh perlawanan yang sukar di peringkat kalah mati dengan Australia menjadi lawan pertama.

Skuad Albiceleste kalah dalam perlawanan pembukaan menentang Arab Saudi tetapi bangkit dengan dua kemenangan berturut-turut untuk menempah slot ke peringkat kalah mati dengan Socceroos yang muncul naib juara Kumpulan D.

Selepas dikejutkan Arab Saudi, Argentina bangkit menewaskan Mexico 2-0 serta menang dengan jaringan yang sama menentang Poland semalam untuk muncul selaku juara Kumpulan C sekali gus memintas kedudukan pasukan Eropah itu.

Bagaimanapun, Messi gagal mempamerkan aksi terbaiknya dalam perlawanan tersebut termasuk gagal menyempurnakan sepakan penalti selepas berjaya diselamatkan oleh penjaga gol Poland, Wojciech Szczesny.

“Kami perlu bersedia untuk perlawanan seperti biasa, kami tahu ia akan menjadi perlawanan yang sangat sukar juga. Piala Dunia ini sangat sekata, kami tidak boleh mempercayai diri kami sendiri kerana kami me­ngalaminya sendiri. Sekarang, kami perlu berehat,” kata Messi.

Messi juga memuji gaya permainan Enzo Fernandez dan Julian Alvarez, yang kedua-duanya telah menemui jaringan di Piala Dunia selepas bersaing hebat untuk memasuki skuad bimbingan Scaloni.

Fernandez diturunkan dalam kesebelasan utama ketika menentang Poland selepas dia menjaringkan gol dalam kemenangan menentang Mexico walaupun bermula di bangku simpanan.

Sementara Alvarez yang dimasukkan bagi menggantikan Lautaro Martinez memastikan kemenangan buat Argentina semalam selepas gol pembukaan menerusi Alexis Mac Allister.

“Mereka tahu apa yang mereka perlu lakukan apabila tiba giliran mereka untuk masuk. Itulah kekuatan kumpulan ini. Apabila mereka perlu masuk, mereka bertindak balas”.

Australia menanti Argentina selepas menempah tempat dalam pusingan 16 akhir beberapa jam lebih awal dan pasukan bimbingan Graham Arnold juga berjaya mara dengan dua kemenangan berturut-turut selepas tewas perlawanan pembukaan mereka.

Dalam perlawanan terakhir kumpulan semalam, Australia berjaya menewaskan Denmark menerusi gol Matthew Leckie sekali gus menyebabkan kemenangan Tunisia ke atas juara bertahan, Perancis hanya sia-sia dan sekadar melengkapkan jadual.

“Saya bangga, letih, semua­nya. Sukar untuk menggambarkan emosi ketika ini, kami sentiasa percaya sebagai satu kumpulan kami boleh melakukannya.

“Kami mempunyai keraguan tetapi dengan semangat kami, kepercayaan kami, etika kerja kami dan betapa dekatnya kami sebagai satu kumpulan, ia me­nunjukkan di atas padang. Pada 15-20 minit terakhir, kami berjuang sehingga tamat dan tidak kira apa mereka membaling ke arah kami, kami tidak bolos.

“Sangat berbangga tetapi, sekali lagi kami akan memanfaatkannya sepenuhnya malam ini. Kemudian semuanya me­ngenai pemulihan kerana kami mempunyai satu lagi cabaran yang besar pada perlawanan akan datang,” kata Leckie

Argentina dan Australia akan berentap di Stadium Ahmed Bin Ali esok bagi merebut tempat ke suku akhir, dengan pemenang akan menempah pertemuan antara Belanda atau Amerika Syarikat (AS). – Agensi/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya