Kaki satu tetap datang mengundi 

Kaki satu tetap datang mengundi 

KECACATAN kaki tidak menghalang Aminah Sidek untuk mengundi pada PRU15 DUN Tioman di SK Pontian di Rompin, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ROMPIN: Walaupun bertongkat kayu, seorang orang kelainan upaya (OKU), Aminah Sidek, 63, tetap hadir menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman hari ini.

Menurutnya, kecacatan kaki tidak menghalangnya hadir seawal pukul 8 pagi di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Pontian di sini dengan ditemani adiknya.

KECACATAN kaki tidak menghalang Aminah Sidek untuk mengundi pada PRU15 DUN Tioman di SK Pontian di Rompin, Pahang. – UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD

“Saya mula mengundi sejak berusia 20 tahun dan tetap keluar mengundi walau dalam keadaan fizikal yang tidak sempurna sebagaimana insan normal yang lain.

”Saya cacat, tiada kaki kiri sejak lahir. Jari jemari saya juga turut tidak sempurna,” katanya katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai mengundi di SK Pontian di sini hari ini.

Seorang pengundi, salasiah Mohd. Noor, 80, berkata, dia tidak pernah terlepas mengundi setiap kali pilihan raya umum berlangsung walaupun berkerusi roda demi menunaikan tanggungjawab kepada negara.

“Saya sudah lebih 10 kali mengundi dan bersyukur masih diberi peluang pada PRU15 kali ini,” katanya. 

Seorang pengundi Orang Asli, Batin Ajat Taman, 73, dari Bukit Serdang mengakui komuniti tersebut sudah celik politik dan maklum kepentingan mengundi dalam memilih wakil rakyat yang bertanggungjawab terhadap masyarakat orang asal. 

“Saya ketua etnik Jakun mengarahkan anak buah keluar mengundi walau apa cara sekalipun. Kami setia kepada parti tertentu. Sebab kami mengenang jasa,” katanya.

Pengundi muda, Nur Haifa Hawani dan Izzati Noor Haizrul, 19, dari  kampung Feri Sepayang berbangga dan teruja pertama kali menunaikan tanggungjawab mengundi. 

Rakannya, Nur Izzsufi Hamizi, 21, dari Kampung Simpang Sepayang tidak sabar mengundi kerana satu undi di tangannya menentukan siapa layak menjadi wakil kepada rakyat di sini.

“Generasi muda kini celik politik yang boleh diakses melalui pelbagai medium elektronik. Gambaran bahawa orang muda tidak matang berpolitik kurang tepat,” katanya. 

Bagi Siti Zahiah Mohd. Isa, 33, pula, dia balik ke kampung itu dari Kuala Lumpur bagi menunaikan tanggungjawab mengundi untuk memilih wakil rakyat DUN Tioman.

“Ada rakan-rakan saya yang tidak dapat pulang mengundi kerana tidak dapat cuti daripada majikan kerana baru bercuti sebelum ini,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN