PETALING JAYA: Cadangan menteri supaya rakyat tidak membeli barangan keperluan yang naik harga termasuk ayam tidak akan dapat menyelesaikan masalah bekalan makanan itu.
Ini kerana faktor yang menyumbang kepada kenaikan harga barangan yang sedang berlaku ini bukan disebabkan oleh peningkatan permintaan tetapi mungkin berpunca daripada kekurangan bekalan.
Pengarah Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (Minda) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli agar kenaikan harga dibendung melalui penurunan permintaan adalah kenyataan yang terlalu mudah dan bukannya satu penyelesaian.
Justeru, kata beliau, logik ekonomi amat penting dan diperlukan dalam menangani masalah dan cabaran ekonomi dalam membentuk polisi dan tindakan yang akan diambil kerajaan.
“Adalah tidak wajar mengharapkan kumpulan berpendapatan rendah bertindak menurunkan permintaan sebagai langkah mengekang kenaikan harga. Intervensi untuk meningkatkan keanjalan permintaan kumpulan berpendapatan rendah? Ini tidak betul dan tidak wajar.
“Penurunan permintaan sebagai langkah mengekang kenaikan harga yang kita alami terlalu mudah. Ia seolah menggambarkan penurunan permintaan adalah antara penyelesaian kenaikan harga.
“Dalam kes yang ekstrem, adakah tiada permintaan langsung merupakan langkah efektif membendung kenaikan harga? Ini bukan penyelesaian,” katanya dalam kenyataan semalam.
PENAWARAN
Kelmarin, Rafizi dilaporkan berkata, pengguna perlu berperanan menjadikan penawaran dan permintaan terhadap barangan lebih anjal, termasuk dengan tidak membeli produk yang dijual pada harga lebih mahal berbanding sebelum ini.
Jelas Menteri Ekonomi itu, jika pengguna tidak membeli atau menggunakan produk yang menawarkan harga yang tidak berpatutan, ia akan memberi gambaran kepada peniaga dan pembekal untuk tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan.
Sebaliknya, Noor Azlan berkata, satu kajian terperinci perlu dilakukan bagi mengetahui punca yang menyebabkan kenaikan harga, bukannya kesan-akibat situasi itu.
“Apakah faktor yang menyumbang kepada kenaikan harga makanan sejak kebelakangan ini? Pastinya peningkatan harga bukan disebabkan oleh peningkatan permintaan. Permintaan stabil dan tiada lonjakkan akibat musim perayaan. Besar kemungkinan ia berpunca daripada kekurangan bekalan.
“Dengan kadar pengeluaran kendiri pengeluaran ayam dan telur ayam mencecah 104 peratus dan 115 peratus, adalah jelas kenaikan harga ayam dan telur ayam adalah berpunca daripada bekalan. Bekalan kurang disebabkan oleh pengurangan pengeluaran oleh pengeluar tempatan ataupun bekalan dieksport ke pasaran yang lebih menguntungkan,” jelas beliau.
INDUSTRI
Sementara itu, satu sumber industri ternakan ayam daging di wilayah utara yang dihubungi berkata, ayam adalah protein paling murah yang mampu dijadikan hidangan lengkap seisi keluarga sepanjang hari.
Justeru, kata sumber itu, kenyataan meminta agar orang ramai mengurangkan makan ayam bagi merendahkan harga pasaran seolah-olah mahu merendahkan lagi taraf rakyat, sedangkan kerajaan tidak menyediakan alternatif lain bagi menggantikan sumber protein selain yang dibekalkan oleh ayam.
“Sepatutnya, sebelum kenyataan sensitif itu dikeluarkan, kaji dahulu latar belakang industri.
“Sekilogram ayam, harganya RM9.40. Ayam di pasaran beratnya kira-kira dua kilogram seekor. Dengan saiz sebegitu, ia boleh membekalkan protein lengkap bagi seisi keluarga dari pagi sampai malam.
“Misalnya, waktu pagi, bahagian dada ayam boleh dicincang dan dibuat rencah nasi goreng. Kemudian tengah hari, paha dan kepak ayam boleh digoreng dibuat lauk. Waktu malam pula, bahagian atas paha boleh dibuat rencah mi goreng,” katanya.
Sumber sama turut mempersoalkan kenyataan kerajaan itu dengan bertanya adakah sumber protein itu boleh digantikan dengan ikan, sedangkan harga ikan yang mahal selain tidak boleh dijadikan menu seharian seperti ayam.
Dalam pada itu, satu sumber penternak di wilayah tengah yang dihubungi berkata, kenyataan Rafizi ibarat satu sabotaj terhadap industri ternakan ayam.
Katanya, kenyataan seorang menteri lazimnya akan mendorong pembentukan sesebuah dasar serta polisi.
“Kesan akibat kenyataan itu, rakyat akan mengelak membeli ayam. Apa yang akan berlaku? Sudah tentu ini akan membunuh penternak, sudahlah sekarang ini pun penternak memang tengah nazak sebab kenaikan kos pengeluaran ayam,” katanya.- UTUSAN










