Johor mohon bantuan Persekutuan atasi masalah  banjir

Johor mohon bantuan Persekutuan atasi masalah  banjir

MOHD. JAFNI MD. SHUKOR (dua dari kiri) melawat sebuah rumah di Kampung Datuk Sulaiman Menteri, di sini yang bumbungnya diterbangkan dalam kejadian ribut minggu lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri memohon bantuan peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan pelan jangka panjang mengatasi masalah banjir kilat yang semakin kerap melanda negeri ini, khususnya di Johor Bahru.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd.Jafni Md. Shukor berkata, isu itu tidak dapat ditangani dengan peranan yang dimainkan pihak berkuasa tempatan (PBT) sahaja, sebaliknya memerlukan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Justeru, beliau mencadangkan satu ‘taskforce’ diwujudkan yang menggabungkan peranan  ketiga-tiga entiti itu yang mempunyai peruntukan khusus daripada Persekutuan dalam merangka pelan jangka panjang bagi mengatasi isu yang semakin kritikal ini.

“Kita sudah ada ‘taskforce’ di peringkat PBT dan sudah mengenal pasti 120 ‘hotspot’ banjir kilat di seluruh negeri, 36 daripadanya terletak di daerah Johor Bahru. Walau bagaimanapun, tindak kerja yang dilakukan pihak PBT menjurus kepada pelan jangka pendek sahaja seperti penyelenggaraan saliran parit dan pembersihan sungai, namun isu ini tak selesai sekiranya kuantiti air hujan terlalu tinggi.

“Jadi, kita memerlukan pelan jangka panjang, namun ia bukan melibatkan bajet RM200,000 tetapi jutaan ringgit. Untuk peringkat PBT dan kerajaan negeri sahaja tidak cukup, kita perlu kerajaan Persekutuan untuk bantu selesaikan isu ini,” katanya selepas meninjau keadaan beberapa buah rumah di Kampung Datuk Sulaiman Menteri, di sini yang rosak dalam kejadian ribut minggu lalu.

Kelmarin, hujan lebat yang berlarutan lebih dua jam menyebabkan beberapa kawasan terjejas akibat banjir kilat termasuk di Lebuhraya Pasir Gudang hingga terputus laluan, malah menyebabkan beberapa kenderaan orang ramai ditenggelami air.

Selain Lebuhraya Pasir Gudang, iaitu susur keluar dan masuk ke Bandar Seri Alam, Jalan Masai Lama, Jalan Kampung Ubi dan di Jalan Pandan menuju Bandar Kota Tinggi turut dinaiki air akibat banjir kilat.

Mohd. Jafni berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa perkara yang boleh diambil tindakan segera bagi mengatasi isu banjir kilat yang semakin kritikal ini.

“Sebagai contoh di Bandaraya Johor Bahru tanah (jalan) lebih rendah dari paras laut, banyak ‘culvert’ yang melintas jalan sudah terlalu lama, ada yang usianya lebih 30 tahun. Pembangunan semakin meningkat tetapi ‘culvert’ di bawah jalan JKR ini tidak pernah dinaik taraf. Jadi, kita sudah kenal pasti isu ini perlukan peruntukan besar.

“Selain itu, JPS juga boleh membina tebing bagi mengelakkan limpahan keluar air Sungai Skudai bagi mengurangkan risiko berlaku banjir kilat,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN