Ibu terduduk, menangis dimaklumkan anak bongsu mati didera - Utusan Malaysia

Ibu terduduk, menangis dimaklumkan anak bongsu mati didera

RUSLAN AHMAD mendukung jenazah cucu saudaranya yang meninggal dunia akibat didera di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Ibu kepada kanak-kanak berusia empat tahun yang meninggal dunia disyaki didera diberikan peluang menatap jenazah anak bongsunya itu buat kali terakhir.

Wanita berusia 39 tahun yang masih dalam tahanan di Penjara Simpang Renggam, Kluang diberi peluang kira-kira lima minit untuk berbuat demikian selepas jenazah kanak-kanak itu dikafankan di Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini hari ini.

Wanita yang memakai pakaian tahanan berwarna ungu itu turut dilihat menangis sebaik keluar menuju ke van sambil diiringi dua pegawai penjara.

Difahamkan, ibu kepada 11 orang anak itu hanya diberitahu tentang kejadian menimpa anaknya itu sebaik  tiba di bilik mayat bagi memastikan emosinya terkawal.

Sementara itu, datuk saudara mangsa, Ruslan Ahmad, 47, kesa; atas kejadian yang menimpa kanak-kanak malang berkenaan kerana dia pernah menjaga mangsa beberapa bulan sebelum kejadian.

Dia tidak menjangka keputusan untuk memberi peluang kepada ibu kanak-kanak berkenaan menjaga mangsa akan berakhir sedemikian.

“Setelah dijaga Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum ini, kanak-kanak itu kemudiannya dijaga oleh saya sebelum dimaklum ibunya telah pulih daripada penagihan dadah dan meminta kebenaran untuk menjaga anaknya.

“Saya dan JKM buat keputusan beri dia peluang. Sepanjang dalam jagaan ibunya selama sebulan, saya difahamkan keadaan arwah baik. Saya juga bertanya khabar dan mereka maklumkan arwah sihat dan semuanya baik.

IBU ARWAH

“Tetapi, lama kelamaan saya gagal hubungi ibu arwah dan apabila saya dimaklumkan tentang kejadian menimpa arwah, saya baru dapat tahu yang ibunya ditahan semula dan arwah dijaga oleh kakaknya. Kalau tahu benda ini akan jadi, saya dah simpan (jaga) sendiri budak itu, kita beri peluang ibunya jaga tetapi tidak sangka jadi macam itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Ruslan yang juga seorang kontraktor tidak tahu kanak-kanak berkenaan dipukul, malah dalam penjagaan singkat ibunya kanak-kanak itu juga dipercayai dalam keadaan baik.

“Walaupun sedar ibu mangsa mempunyai kekurangan, tetapi dalam soal ini saya tidak menyalahkan dia kerana dia tidak tahu anak bongsunya itu menjadi mangsa dera sehingga maut,” katanya

Kelmarin, kanak-kanak malang itu dilaporkan telah meninggal dunia selepas tiga hari dirujuk ke HSI akibat pengsan di rumah di Senggarang, Batu Pahat.

Hasil siasatan awal mendapati kematian mangsa akibat didera dengan terdapat pelbagai kesan kecederaan baharu dan lama di seluruh tubuh badannya.

Lima individu  ditahan polis termasuk kakak mangsa dan suami, serta tiga rakan kepada wanita berkenaan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.