PETALING JAYA: Malaysia dijangka berdepan krisis telur ayam yang semakin kritikal susulan polisi kerajaan mengimport sumber itu dari India, dengan bekalan telur tempatan dijangka susut sehingga 40 peratus bermula Januari tahun depan berbanding 30 juta biji yang dihasilkan setiap hari.
Satu sumber pengeluar telur ayam memberitahu Utusan Malaysia, lambakan telur import akan ‘membunuh’ ladang-ladang ayam penelur tempatan, mengakibatkan penternak tidak mahu melanjutkan tempoh pengeluaran.
Kata sumber, purata penghasilan telur ayam dalam negara sebanyak 30 juta biji sehari, namun susulan keputusan mengimport bekalan tersebut maka pengeluaran domestik bermula Januari tahun depan dijangka menyusut kepada 18 juta biji.
Jelas sumber, apabila ‘malapetaka telur’ itu berlaku, kerajaan terpaksa bergantung kepada telur ayam yang diimport dari sumber luar secara berterusan.
Katanya, senario ini mendedahkan negara kepada bencana keselamatan makanan kerana kebergantungan kepada pembekal telur luar negara mengakibatkan Malaysia terdedah kepada keputusan bekalan tanpa mempunyai sebarang jaminan daripada pengeluar telur tempatan.
PENGELUAR
“Sekarang ini, bila kerajaan sebut langkah import telur India ini cuma bersifat sementara, tapi pengeluar tidak percaya. Pengeluar telur domestik sudah bersepakat untuk cull atau menakai ayam masing-masing. Maksudnya, mahu jual saja ayam telur sebagai ayam pencen.
“Buat apa lagi kami mahu perjudikan perniagaan kami, sedangkan kerajaan cuma ambil langkah tanpa memikirkan kesan jangka panjang.
“Bila ayam itu ditakai, maka pengeluaran telur domestik akan menyusut. Kami jangkakan, krisis kekurangan telur domestik akan mula berlaku mulai Januari tahun depan, menyusut sebanyak 40 peratus,” kata sumber itu semalam.
Menjelaskan lanjut, sumber berkata, sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kerajaan mengadakan libat urus dan rundingan dengan penternak ayam telur, memohon mereka melanjutkan tempoh pengeluaran telur kepada 100 minggu berbanding 80 minggu dan perkara itu dipersetujui kedua-dua pihak.
Namun kata sumber, keadaan sebaliknya berlaku apabila belum sempat penternak memberikan komitmen melanjutkan had pengeluaran telur, ada pihak telah melobi kerajaan untuk membawa masuk telur ayam dari India.
TAMBAHAN
“Sebelum ini, kerajaan minta kami lanjutkan tempoh hayat pengeluaran kepada 20 minggu tambahan. Sebelum ini, ayam bertelur dalam tempoh 80 minggu, tapi kami setuju lanjutkan kepada 100 minggu untuk membantu penghasilan telur dalam negara. Tapi, bila kerajaan mengumumkan polisi import telur, ini merisikokan perniagaan pengusaha telur tempatan dan memang banyak ladang-ladang tempatan akan takai ayam telur masing-masing,” katanya.
Pada masa sama, sumber berkata, meskipun kerajaan mengumumkan langkah mengimport telur cuma bersifat sementara, namun keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa itu telah menjejaskan ekosistem pengeluaran telur tempatan.
“Kebimbangannya begini, kerajaan memaklumkan langkah mengimport telur ini bersifat sementara. Kerajaan juga janji, enam bulan saja untuk import.
“Mereka juga minta pengeluar telur mengeluarkan semaksimum mungkin telur masing-masing dalam tempoh enam bulan. Tapi, bila sudah jadi begini, kerajaan ingat pengusaha mahu ikut? Kami ini berniaga,” kata sumber.
TELUR
Mengulas perbezaan telur ayam import dan tempatan, sumber berkata, telur ayam yang diimport boleh dikesan berdasarkan kepada kulit telur dari India yang berwarna putih manakala kulit telur ayam tempatan kebanyakan berwarna kuning.
“Ada beberapa ramuan dalam makanan ayam penelur, yang mana kalau dibuang daripada campuran dedak, telur yang terhasil akan berwarna putih. Di India, kebanyakan telur berkulit putih, kerana mereka mirip Britain yang mana kulit telur di sana warna putih.
“Jadi, telur-telur yang diimport dari India ke Malaysia adalah berwarna putih. Ini bukan telur ayam kampung, malah di pasaran sebelum ini pun, pihak yang menjual telur kulit putih dan mendakwa itu telur ayam kampung, sebenarnya tak betul. Itu telur ayam biasa, cuma ramuan makanan ayam penelur itu yang diubah,” kata sumber.
Kelmarin, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) membenarkan kemasukan telur ayam import dari India melalui laluan udara sebagai fasa percubaan.
Kementerian itu dalam kenyataan berkata, inisiatif membawa masuk telur ayam dari sumber luar bukanlah untuk menekan pengusaha industri telur ayam tempatan.
Sebaliknya, kata MAFS, langkah itu bagi memastikan kecukupan bekalan telur ayam dalam negara dengan harga yang kompetitif.- UTUSAN








