Gawang Maghribi kebal, sukar dirobek

Gawang Maghribi kebal, sukar dirobek

Pemain-pemain Maghribi meraikan kejayaan memenangi perlawanan menentang Sepanyol menerusi penentuan sepakan penalti dalam saingan 16 terbaik di Stadium Education City, Doha, semalam. Perlawanan semalam berakhir dengan kedua-dua pasukan terikat 0-0 sebelum Maghribi menang penalti 3-0. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Maghribi mara ke suku akhir Piala Dunia setelah menewaskan Sepanyol menerusi penentuan penalti selepas permainan berakhir tanpa jaringan.

Digelar sebagai Singa Atlas mereka mara ke peringkat itu sejak Ghana melakukan langkah yang sama pada 2010, Cameroon (1990) dan Senegal (2002).

Ia penampilan kedua negara Afrika utara itu di pentas kalah mati pada Piala Dunia, kejohanan yang pertama kali dianjurkan di Asia Barat dalam sejarah 100 tahun penganjurannya.

Anak didik Walid Regragui akan membuat perhitungan bertemu Portugal selepas lawan mereka turut mengesahkan kemaraan selepas membelasah Switzerland 6-1.

Perlawanan kelmarin merupakan kejohanan besar ketiga berturut-turut yang mana Sepanyol kalah menerusi penentuan sepakan penalti selepas Piala Dunia 2018 dan Euro 2021.

Maghribi menjaringkan tiga daripada empat sepakan penalti, dengan sepakan kemenangan disempurnakan Achraf Hakimi.

Sebelum itu, penjaga gol Maghribi, Yassine Bounou yang beraksi dengan kelab Sevila dalam Liga Sepanyol bertindak cemerlang mengagalkan dua sepakan penalti pasukan lawan.

“Kami tidak dapat menjaringkan gol… Jadi tidak kira berapa banyak yang kami katakan bahawa kami berhak untuk menang, ia tidak akan mengubah apa-apa.

“Satu-satunya perkara yang tinggal untuk kami ialah mene­rima hakikat telah tersingkir,” ujar penjaga gol Sepanyol, Unai Simon yang hanya menyelamatkan satu sepakan penalti.

Bagi Regragui, pasukannya berjuang dan menggembirakan rakyat Maghribi dan sememang­nya berhak meraih kejayaan.

“Kami mencipta sejarah dan Maghribi berhak mendapatnya, rakyat Maghribi menjadikan kami bersatu di atas padang.

“Saya berbangga dengan penyokong dan masyarakat Arab.

“Juga kepada rakyat Qatar, mungkin juga Algeria, Tunisia, Arab dan Afrika yang berada di sini,” jelasnya yang menjadi jurulatih Afrika pertama yang melatih pasukan sendiri mara ke suku akhir.

Maghribi dijadual bertemu Portugal dalam aksi suku akhir Sabtu ini selepas mengharungi saingan dalam ‘kumpulan maut’ yang disertai Kanada, Belgium dan naib juara 2018, Croatia.

Singa Atlas menyertai kejohanan dengan lebih separuh daripada skuad disertai pemain yang tidak dilahirkan di Maghribi, jumlah teramai daripada mana-mana 32 negara yang mengambil bahagian. – Agensi/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya