Gandingan tokoh, muka baharu

Gandingan tokoh, muka baharu

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim (tengah) beramah mesra dengan Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail selepas upacara mengangkat sumpah jawatan Senator di Bangunan Parlimen, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menamakan kira-kira 50 peratus muka baharu dalam barisan Jemaah Menterinya menjadikan Kabinet beliau satu gandingan yang mantap untuk merealisasikan agenda pem­bangunan negara.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr. Jeniri Amir berkata, pihaknya percaya Perdana Menteri sudah mengambil kira semua faktor dengan teliti termasuk dari segi komposisi parti yang menyumbang ke arah pembentukan Kabinet.

Katanya, penglibatan individu yang disifatkan bertenaga, berupaya dan mempunyai kearifan untuk membantu Anwar amat penting bagi menangani isu-isu dihadapi rakyat.

Justeru, katanya, apa yang paling penting adalah Ahli Parlimen Tambun itu sudah membuktikan beliau berusaha untuk mengambil kira kepentingan rakyat, bukan sahaja pemegang taruh.

PENGALAMAN

“Itu sebab beliau bukan sahaja melakukan penambahbaikan dan pengecilan kementerian, tetapi berusaha meletakkan tokoh yang sesuai untuk menjawat jawatan dan menerajui (portfolio) berdasarkan kelayakan serta pengalaman mereka,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dalam senarai Kabinet yang diumumkan, Kerajaan Perpa­duan itu terdiri daripada 15 pimpinan Pakatan Harapan (PH) melibatkan lapan wakil daripada PKR, Parti Amanah Negara (dua), DAP (empat) dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) (satu).

Sementara itu, enam wakil menteri daripada Barisan Nasional (BN) didominasi UMNO, dua Gabungan Rakyat Sabah (GRS), empat Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan seorang teknokrat yang merupakan Ketua Hakim Syarie.

Mengulas lanjut, Jeniri berkata, individu yang dilantik ketika ini diminta dapat terus bekerja dan fokus untuk memastikan harapan rakyat dapat terus diutamakan.

“Kita harapkan mereka bersatu padu untuk terus bekerja. Tiada masa bulan madu kerana harus berfungsi dengan efisien bagi menangani (isu) di peringkat nasional atau global di tengah jangkaan kemerosotan ekonomi terutamanya tahun hadapan.

“Jadi setiap daripada mereka harus gariskan agenda dan indek pencapaian (KPI) untuk memastikan mereka dapat memenuhi aspirasi dan kehendak rakyat yang semakin kritis ter­hadap Kabinet baharu,” katanya.

Dalam pada itu, penganalisis politik Pusat Perdana Fakulti Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, tanggungjawab besar menanti mereka yang dilantik untuk menyelesaikan isu-isu negara terutamanya memulihkan ekonomi serta keadaan rakyat selaras dengan hasrat Yang di-Pertuan Agong sebelum ini.

Justeru, katanya, pembentukan Kabinet yang lebih kompak ini dapat mengelakkan pertindihan fokus.

“Kementerian tak nampak banyaki, menteri tak ramai, jadi nampak berharga portfolio itu. Dalam masa sama (ia bagus) untuk mengurangkan kos, sekurang-kurangnya dapat jimat RM2 atau RM3 juta sebulan pun sudah bagus,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN