KUALA TERENGGANU: Situasi banjir di tiga negeri Pantai Timur semakin buruk apabila hampir 30,000 mangsa dipindahkan ke 332 pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga petang semalam.
Empat mangsa bah terkorban di Kelantan melibatkan tiga beradik yang terkena renjatan elektrik di Kampung Morak, Tumpat dan seorang lagi bayi berusia 15 bulan lemas di Kampung Gual Tok Deh, Rantau Panjang.
Di Terengganu kelmarin, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun lemas selepas terjatuh dari pintu dapur rumah ibu saudaranya yang dinaiki air di Kampung Apal, Jerteh.
Mengikut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), negeri-negeri di Pantai Timur dijangka terus dilanda hujan lebat sehingga esok.
TERENGGANU
Di KUALA TERENGGANU, jumlah mangsa banjir di negeri ini direkodkan terus meningkat kepada 19,601 orang daripada 5,699 keluarga setakat pukul 4 petang semalam.
Kesemua mangsa kini di tempatkan di 243 pusat pemindahan sementara (PPS) di lapan daerah di Terengganu.
Hujan lebat yang masih berterusan di semua daerah menyebabkan peningkatan tersebut berbanding 16,125 mangsa daripada 4,588 keluarga di 206 PPS pada pukul 12 tengah hari.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu berkata, daerah paling teruk terjejas ialah Hulu Terengganu yang terus merekodkan peningkatan jumlah mangsa bah kepada 5,726 orang berbanding 1,799 keluarga di 50 PPS berbanding 5,011 orang daripada 1,579 keluarga di 48 PPS.
“Banjir juga semakin buruk di Besut dengan jumlah mangsa terus meningkat kepada 5,067 orang daripada 1,398 keluarga di 80 PPS berbanding 4,525 orang daripada 1,243 keluarga di 72 PPS pada tengah hari tadi,” katanya dalam kenyataan semalam.
PPS
Banjir di Kemaman turut menyebabkan lima lagi PPS dibuka pada petang semalam untuk menampung kemasukan 3,565 mangsa daripada 963 keluarga berbanding 2,973 mangsa daripada 770 keluarga pada sebelah pagi.
Ketika ini, terdapat 26 PPS yang dibuka di seluruh Kemaman dan penduduk di beberapa kawasan daerah itu juga berisiko tinggal dalam keadaan bergelap setelah Tenaga Nasional Berhad (TNB) terpaksa memutuskan bekalan elektrik setelah pencawang masuk utama daerah itu dimasuki air.
Tambahnya, banjir di daerah Setiu juga semakin buruk dengan peningkatan mangsa kepada 3,172 orang daripada 1,015 keluarga di 51 PPS petang ini berbanding 2,336 orang daripada 685 keluarga di 39 PPS tengah hari tadi.
“Daerah Dungun juga mencatat sedikit peningkatan kepada 1,083 orang daripada 284 keluarga di 23 PPS berbanding 938 orang daripada 242 keluarga di 19 PPS sebelum ini.
“Daerah Kuala Terengganu pula merekodkan peningkatan mangsa kepada 382 orang daripada 91 keluarga di enam PPS pada petang ini berbanding hanya 54 orang daripada 12 keluarga di dua PPS tengah hari tadi.
“Situasi sama juga berlaku di Marang yang merekodkan sedikit kenaikan jumlah mangsa iaitu 304 orang daripada 59 keluarga di empat PPS berbanding 189 orang daripada 33 keluarga di tiga PPS tengah hari tadi,” katanya.
KUALA NERUS
Di Kuala Nerus, seramai 302 mangsa daripada 90 keluarga dipindahkan ke tiga PPS berbanding hanya 99 mangsa daripada 24 keluarga di dua PPS sebelum ini.
Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir di negeri ini meningkat kepada 9,511 orang sehingga pukul 1 petang berbanding 6,826 orang pada pukul 11 pagi semalam.
Menurut Info Banjir Kelantan, sebanyak 80 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka iaitu Tanah Merah 17 PPS, Kota Bharu (16), Kuala Krai (15), Machang (sembilan), Pasir Puteh (lapan), Pasir Mas (enam), Tumpat (empat), Jeli (tiga) dan Bachok (dua).
Paling ramai mangsa dipindahkan semalam ialah di jajahan Kuala Krai iaitu 1,956 orang melibatkan 514 keluarga, diikuti Kota Bharu (1,505), Tanah Merah (1,327), Pasir Mas (1,135), Tumpat (1,128), Pasir Puteh (1,070), Machang (832), Jeli 371 dan Bachok (187).
PAHANG
Di PAHANG pula seramai 709 mangsa daripada 179 keluarga dipindahkan di enam PPS di Kuantan dan tiga di Raub, setakat pukul 4 petang.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang dalam kenyataannya berkata, enam PPS yang dibuka di daerah ini ialah PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Karang, SK Beserah, SK, Cherating, SK Sungai Ular, SK Pelindung dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelindung yang membabitkan 647 mangsa daripada 159 keluarga.
Di Raub pula membabitkan 62 mangsa daripada 20 keluarga di PPS Dewan Kampung Pia, PPS Balai Raya Kampung Ria Semantan dan PPS Balai Raya Chenua.
PPS Balai Raya Kampung Ria Semantan dibuka semula semalam selepas ditutup pada Isnin minggu lalu di mana setakat ini dua keluarga dengan seramai tujuh mangsa ditempatkan di PPS berkenaan berbanding tiga keluarga dan 10 mangsa sebelum ini.
Dalam pada itu, Sungai Keratong di Jalan Kota Bahagia, Rompin mencatatkan paras bahaya dengan ketinggian 11.76 meter bagaimanapun air sungai dikatakan dalam trend menurun.- UTUSAN










