Ambil tindakan tegas terhadap pembuang sampah haram - Utusan Malaysia

Ambil tindakan tegas terhadap pembuang sampah haram

NICOLE Tan Lee Koon memeriksa satu lokasi pembuangan sampah kitar semula di Taman Bukit Galena dekat Seremban hari ini.-UTUSAN/NAZARUDIN SHAHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Tindakan undang-undang lebih tegas perlu dikenakan terhadap pihak atau individu yang membuang sampah secara haram di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon berkata, kempen kesedaran supaya semua pihak mematuhi peraturan membuang sampah tidak memadai jika tidak disusuli tindakan undang-undang.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri berkata, tindakan undang-undang perlu dimulakan kerana terdapat pihak yang memandang mudah isu tersebut.

“Perbuatan membuang sampah secara haram kini semakin kritikal berdasarkan kepada peningkatan aduan yang diterima pihak berkuasa.

“Sebagai contoh, sebanyak 23 aduan diterima di kawasan Rasah Kemayan, Bandar Ainsdale (10 kes), S2 Heights (8 kes) dan Taman Sri Pinang (6 kes),” katanya kepada para pemberita selepas memeriksa satu lokasi pembuangan sampah kitar semula di Taman Bukit Galena dekat sini hari ini.

Menurutnya, sekiranya peningkatan kes itu tidak ditangani dengan lebih tegas, perbuatan membuang sampah secara haram akan berleluasa hingga menjejaskan imej negeri ini.     

Beliau menarik perhatian, baru-baru ini seorang orang awam telah menyalurkan maklumat kepadanya mengenai kegiatan pembuangan sampah di Taman Duyung yang kemudiannya diserahkan kepada agensi penguatkuasaan.

“Orang ramai boleh menyalurkan kepada saya melalui talian 012-3626977 jika mempunyai maklumat mengenai pembuangan sampah haram. Saya tidak akan dedahkan identiti mana-mana pemberi maklumat,” katanya. 

Dalam isu berkaitan, Nicole menggesa penduduk bandar ini tidak melonggokkan sampah pukal terutamanya yang bersaiz besar di lokasi yang terdapat tong kitar semula.

Jelasnya, sampah pukal seperti perabot lama perlu diletakkan di depan rumah untuk dikutip syarikat konsesi, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM) mengikut jadual yang telah diatur.

“Saya menerima aduan beberapa barangan perabot lama dilonggokkan di tepi jalan di Taman Bukit Galena hingga menimbulkan rasa tidak selesa kepada penduduk.

“Jangan ambil mudah kerana ia boleh mengundang masalah lain seperti longkang tersumbat atau menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes,” ujarnya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.