Akta Kerja 1955: Jangan ugut kerajaan

Akta Kerja 1955: Jangan ugut kerajaan

PEKERJA wanita harus membuktikan bahawa mereka adalah aset kepada syarikat. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majikan tidak boleh memberikan sebarang alasan menjelang pelaksanaan Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) pada 1 Januari ini kerana perkara tersebut sudah dikaji dan dirunding secara bersama seba­nyak 18 kali sejak 2018.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Kongres Ke­satuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, syarikat dan majikan perlu bersama-sama kerajaan merealisasikan pembaharuan undang-undang buruh negara ini.

Menurutnya, jika berlaku lagi penangguhan kali kedua, tindakan tersebut mencerminkan Malaysia sedang melangkah ke belakang sekali gus menafikan hak pekerja.

Katanya, kenyataan Persa­tuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) bahawa pelaksanaan Akta Kerja 1955 baharu itu akan menyebabkan majikan bakal gulung tikar dan mencetuskan impak kenaikan harga barang berbaur ugutan bagi mendesak kerajaan menangguhkan pelaksanaannya.

RUNDINGAN

Menurut beliau, alasan lain seperti tidak bersedia dan majikan terpaksa menanggung kos sehingga RM111 bilion setahun tidak seharusnya dibangkitkan kerana sebelum pindaan dimuktamadkan kerajaan dan majikan sudah melakukan 18 siri rundi­ngan sejak lima tahun lalu.

“Kerajaan telah melakukan rundingan dan konsultasi melibatkan para majikan dan wakil kesatuan sekerja sebelum penambahbaikan akta ini diluluskan pada Mac 2021.

“Jadi dari Mac 2021, majikan patutnya ada banyak masa untuk melakukan penyesuaian sehingga tempoh pelaksanaan dikuatkuasakan. Alasan tidak bersedia dan akan tanggung kos tinggi merupakan satu ugutan kepada kerajaan,” kata beliau.

Kata Mohd. Effendy, jika Malaysia terus gagal menguatkuasakan Akta Kerja 1955 tindakan tersebut akan dianggap ‘patah balik ke belakang’ berbanding negara-negara lain yang sudah melakukan penambahbaikan akta buruh masing-masing.

Selain itu, kata beliau, sebaik dimuktamadkan sudah ada beberapa syarikat swasta telah mengambil inisiatif de­ngan menerapkan faedah seperti cuti wanita bersalin sehingga tiga bulan di syarikat-syarikat mereka.

“Jadi mengapa majikan-majikan tersebut tidak mencontohi perkara sama dan kini membangkitkan pelbagai masalah?” katanya ketika dihubungi.

Akhbar ini semalam melaporkan Presiden Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, pindaan akta tersebut membebankan majikan dan bakal menanggung kos tambahan pekerja sebanyak RM9.25 bilion sebulan atau RM111 bilion setahun apabila Akta Kerja 1955 (Pindaan 2022) mula dilaksanakan secara menyeluruh bermula 1 Januari ini.

Bagaimanapun, kenaikan mendadak tersebut dikhuatiri membebankan majikan dan kemungkinan banyak majikan yang tidak mampu meneruskan operasi atau mengambil pendekatan mengurangkan kakitangan bagi mengelakkan gulung tikar.

HAK

Mengulas lanjut, Mohd. Effendy berkata, kegagalan melaksanakan akta itu akan menjadi kerugian besar kepada negara apabila dilihat menafikan hak pekerja yang selama ini membanting tulang kepada syarikat sekali gus memberi ruang untuk berhenti kerja setelah menyifatkan hasil titik peluh selama ini tidak berbaloi.

Selain itu, menurut beliau, pelabur-pelabur negara luar juga bersikap melihat pembaharuan undang-undang buruh sebelum mereka mengambil keputusan melabur di negara ini sama ada ia dapat menjamin kebajikan pekerja atau sebaliknya.

“Paling penting akta ini me­rupakan satu pelaburan besar untuk bakat-bakat masa depan Malaysia. Jika masih tahap lama, maka ramai akan berhenti kerja sehingga menyebabkan peluang pekerjaan kosong yang akhirnya menjejaskan produktiviti syarikat,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Perusahaan Malaysia, Matkar Siwang berkata, pihaknya hairan me­ngapa terdapat persatuan majikan membangkitkan alasan tidak munasabah sedangkan kajian mendalam dan rundingan 18 kali sudah dilakukan untuk melihat impak pelaksanaan akta tersebut.

Menurut beliau, dakwaan mengatakan berlakunya pengurangan pekerja wanita kerana mengelakkan memberi cuti bersalin selama 98 hari tidak seharusnya dibangkitkan sedangkan bukan semua bersalin serentak.

“Selain itu, ada mengatakan majikan mengalami kerugian kerana akan tanggung kos kerja lebih masa. Kerja lebih masa ini adalah hak syarikat, bukan pekerja yang minta kerja lebih masa, malah jika pihak pengurusan bijak mengurus urusan pekerjaan, pekerja akan pulang pada waktu ditetapkan.

“Berhubung dakwaan kos barang dan sara hidup akan naik, sekarang belum dilaksanakan pun sudah baik. Jadi mengapa memberi pelbagai alasan se­olah-olah mahu memaksa kerajaan tangguh akta ini untuk kali kedua?” soal beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN