Ambil iktibar PRN Sabah, kerjasama jamin kestabilan politik

Ambil iktibar PRN Sabah, kerjasama jamin kestabilan politik

DATUK RAIS YASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH
DALAM usia mencecah 80 tahun, UMNO berdepan cabaran besar untuk terus kekal relevan dalam landskap politik yang semakin dinamik, khususnya selepas melalui detik kejatuhan pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

Namun, kebangkitan semula parti itu sehingga kembali berada dalam kerajaan hari ini dilihat sebagai bukti kemampuan UMNO menyesuaikan diri dengan perubahan semasa, termasuk melalui pendekatan perkongsian kuasa dan kerjasama politik.

Di Melaka, model kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menjadi contoh bagaimana kestabilan politik mampu dipelihara meskipun berdepan perbezaan ideologi, sekali gus memberi manfaat langsung kepada rakyat melalui pelaksanaan dasar dan pembangunan.

Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Melaka, DATUK RAIS YASIN menyifatkan kerjasama antara parti politik penting bagi memperkukuh kedudukan dan memberi kestabilan dalam sesebuah pentadbiran.

Ikuti wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, ASLINDA NASIR dan AMRAN MULUP di Kompleks Seri Negeri, Melaka baru-baru ini.


UTUSAN: Di mana UMNO dalam usia 80 tahun pada tahun ini?
RAIS: Hari ini UMNO berada dalam fasa pasca kekalahan 2018. Kita berada dalam keadaan UMNO sangat berbeza kerana perlu bangkit semula daripada kekalahan dalam keadaan kehilangan kuasa. Ramai pemimpin yang lompat meninggalkan parti, tukar kapal dan sebagainya.

Tetapi di bawah kepimpinan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selaku presiden, alhamdulillah kita berada pada kedudukan hari ini.

UMNO sedang melalui fasa perubahan. Kita berada dalam kuasa perubahan. Banyak pemimpin muda kini berada dalam saf kepimpinan UMNO.

Dalam masa sama, kita masih ada orang-orang lama yang memimpin dan membantu kami. Gabungan pengalaman dan tenaga baharu ini sangat penting.

Saya yakin jika diberi ruang dan peluang, UMNO akan kembali menjadi parti tunjang orang Melayu yang bukan sahaja relevan tetapi terus memperjuangkan nasib Melayu bumiputera serta kesejahteraan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Usia 80 tahun ini bagi organisasi politik, usia ini melambangkan kematangan dan pengalaman luas. Tidak banyak parti di Malaysia yang mempunyai pengalaman seperti UMNO.

Sejauh mana penerimaan orang Melayu terhadap UMNO sejak berada dalam kerajaan perpaduan?
Kita telah melalui pelbagai fasa sepanjang 80 tahun. Sememangnya kita tidak boleh memuaskan hati semua pihak, apatah lagi orang Melayu sendiri.

Hari ini, terdapat banyak parti politik yang datang daripada orang Melayu bumiputera. Jadi kita tidak boleh menjangka semua akan menyokong UMNO. Namun dari sudut sentimen, kita lihat sejak 2018, UMNO bangkit daripada kekalahan sehingga kembali berada dalam kerajaan.

Di Melaka sendiri, selepas menjadi pembangkang selama lebih kurang 22 bulan, kita kembali menang PRN 2021 dengan 21 daripada 28 kerusi. UMNO sahaja memperoleh 18 kerusi sebenarnya cukup untuk membentuk kerajaan sendiri, tetapi tetap memilih untuk berkongsi kuasa.

Mengapa?
Kita melihat keperluan kestabilan. Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh antara pemimpin awal yang membawa agenda perpaduan di Melaka.

Walaupun tidak perlu membawa masuk parti lain, kita tetap menghulurkan salam perpaduan. Kita melantik wakil DAP sebagai Exco Kerajaan Negeri.

Memang kita akui ada perpecahan dalam kalangan orang Melayu yang tidak boleh menerima DAP, tetapi kita melihat gambaran yang lebih besar iaitu kestabilan kerajaan.

Alhamdulillah, sehingga hari ini, hubungan itu berterusan dalam keadaan baik dan stabil.

Bagaimana kerjasama antara parti dalam pentadbiran negeri?
Saya sendiri bertanggungjawab dalam portfolio kerajaan tempatan, khususnya berkaitan pelantikan ahli majlis PBT (pihak berkuasa tempatan).

Dalam pembahagian ahli majlis, semua parti terlibat PKR, DAP, Parti Amanah Negara (Amanah), UMNO, MCA dan MIC.

Di peringkat Exco dan PBT, mereka bermesyuarat bersama tanpa masalah besar. Sehingga April 2026, hubungan ini masih baik. Tiada keretakan besar. Mungkin ada perbezaan kecil tetapi itu perkara biasa dalam satu rumah.

Contohnya isu Datuk Dr. Akmal Saleh, Ketua Menteri menolak peletakan jawatan beliau dan beliau kekal berkhidmat. DAP juga tidak mengeluarkan kenyataan yang menjejaskan keadaan. Ini menunjukkan apabila kepimpinan itu stabil, konflik boleh dikawal dengan baik.

Adakah perkongsian kuasa ini benar-benar menjamin kestabilan politik?
Perkongsian kuasa dari peringkat persekutuan hingga negeri ialah contoh yang baik. Hari ini di peringkat persekutuan, kita ada menteri daripada pelbagai parti termasuk UMNO dan PH.

Di Melaka, kita juga melihat perkara yang sama. Apabila ada kestabilan politik, projek pembangunan dapat dilaksanakan. Contohnya, projek Waste to Energy di Sungai Udang yang tertangguh lebih enam tahun akhirnya dapat dilaksanakan hasil kerjasama kerajaan negeri dan persekutuan.

Siapa yang untung? Rakyat. Tanpa kestabilan politik, perkara seperti ini tidak akan berlaku.

Adakah ia memberi keyakinan kerjasama politik antara BN dan PH boleh diteruskan menjelang pilihan raya?
Secara peribadi, saya melihat kesediaan PH untuk bekerjasama sebagai sesuatu yang positif.

Sebagai pemimpin akar umbi, saya rasa terharu dengan isyarat itu. Tetapi keputusan tetap di peringkat pusat.

Bagaimana strategi menghadapi PRN Melaka akan datang?
Kita tidak boleh terlalu yakin dengan kemenangan lalu. Walaupun menang besar dalam PRN 2021, dalam PRU selepas itu kita kalah. Ini menunjukkan pengundi sangat dinamik.

Jika bergerak secara solo, kita ada kekuatan dari segi rekod perkhidmatan dan pemimpin tempatan. Jika bekerjasama, ia boleh menambah kekuatan.

Bagi saya, perbincangan itu penting. Kalau perlu beralah, kita beralah demi kemenangan bersama. Kita juga perlu mengambil pengajaran daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah di mana pembahagian kerusi memberi kesan besar kepada keputusan pilihan raya.

Pada PRN Sabah, kita bertanding dengan kerusi 45 tapi kita menang enam. Saya sebenarnya antara orang yang berada di lapangan di Sabah selama hampir tiga minggu.

Saya sangat menginsafi keadaan itu, maka sebab itu saya merasakan kerjasama dengan parti politik lain itu sangat diperlukan bagi menyokong antara satu sama lain.

Sejauh mana faktor demografi memainkan peranan?
Sangat besar. Contohnya di Parlimen Tangga Batu: Pantai Kundor 80 peratus Melayu, Kelebang sekitar 72 peratus Melayu, Sungai Udang hampir 10,000 pengundi tentera, Paya Rumput 45,000 pengundi dengan komposisi Melayu, Cina dan India.

Jadi faktor kaum, geografi dan latar belakang pengundi sangat mempengaruhi keputusan. Namun akhirnya, pengundi akan membuat pilihan sama ada berdasarkan perkhidmatan atau sentimen politik.

Adakah faktor sentimen mempengaruhi undi calon dalam PRN Melaka nanti?
Mereka sebenarnya perlu memilih pemimpin yang berada bersama dengan kita di lapangan ataupun ikut sentimen.

Saya berkhidmat dengan orang Paya Rumput tetapi kalau hari ini mereka tidak memilih saya kerana perkhidmatan saya itu kurang baik atau tidak baik, saya reda. Tetapi kalau mereka memilih orang Cina dan mereka tidak mahu pilih saya kerana tidak bersama dengan DAP, saya sedihlah dan undi tersebut akan beralih kepada PH.

Ini tidak adil bagi saya sebagai orang politik tetapi kita serahkan kepada pemimpin untuk pilih dan biarlah pucuk pimpinan menentukan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN