653 aduan libatkan agensi penguatkuasaan - Utusan Malaysia

653 aduan libatkan agensi penguatkuasaan

NORHAYATI Ahmad (kiri) menyaksikan Ahmad Suaidi Abdul Rahim (tengah) merasmikan gimik pelancaran Majlis ERAT EAIC bersama Masyarakat di Dewan Bankuet Pejabat SUK, di Ipoh hari ini. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sebanyak 653 aduan termasuk rasa tidak puas hati terhadap prosedur dan perkhidmatan serta salah laku melibatkan agensi penguatkuasa diterima oleh Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) di seluruh negara bagi tahun ini setakat 5 Disember lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif EAIC, Norhayati Ahmad berkata, secara keseluruhan sebanyak 467 atau 70 peratus aduan melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 37 aduan atau enam peratus melibatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Menurutnya, sebanyak 11 aduan atau dua peratus melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), sembilan aduan melibatkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) manakala 141 atau 21 peratus melibatkan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain.

“Sebanyak 39 aduan diterima di negeri Perak melibatkan 29 aduan terhadap PDRM, dua aduan membabitkan JKDM, satu aduan membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan JIM.

“Satu aduan membabitkan APMM dan Jabatan Perikanan Malaysia manakala enam aduan melibatkan agensi yang bukan di bawah seliaan EAIC.

“Sebanyak 21 agensi penguatkuasaan di bawah seliaan EAIC antaranya, PDRM, Jabatan Kastam, Jabatan Imigresen dan JPJ,” katanya kepada pemberita pada Majlis Erat EAIC Bersama Masyarakat Peringkat Zon Utara di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Menurut Norhayati, aduan melibatkan rasa tidak puas hati terhadap prosedur dan perkhidmatan yang disediakan agensi berkenaan berkaitan ketidakcekapan serta salah laku.

Beliau berkata, melalui aduan tersebut, kelemahan dalam prosedur dan perkhidmatan dapat dikenal pasti dan diperbaiki.

“Dalam pengurusan aduan, kami sentiasa telus dan berlaku adil terhadap kedua-dua pihak iaitu pengadu dan pegawai atau agensi penguatkuasaan yang diadukan.

“Aduan yang disalurkan kepada kami bukan untuk mencari kesalahan atau membuka aib seseorang pegawai penguatkuasa atau sesuatu agensi penguatkuasaan.

“Sebaliknya, penubuhan EAIC sebagai sebuah medium untuk membantu anggota penguatkuasa dan agensi penguatkuasaan dalam pemantapan integriti dan meningkatkan mutu akauntabiliti dalam institusi penguatkuasaan di negara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya