4 ahli GRS lompat parti sebelum PRU15?

4 ahli GRS lompat parti sebelum PRU15?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Empat Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dikatakan telah melompat parti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November lalu.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, justeru, status empat individu itu ketika mereka bertanding dalam PRU15 masih menjadi persoalan.

“Saya dimaklumkan dengan beberapa fakta berbeza. Ada yang mendakwa mereka telahpun keluar Bersatu ketika bertanding dalam PRU15.

“Penjelasan saya mudah, kalau mana-mana ahli parti dan dia bertanding atas nama parti lain seperti wakil Bersatu bertanding atas tiket GRS, hakikatnya dalam undang-undang, mereka adalah ahli Bersatu dan bukannya GRS.

“Kalau dia bertanding semasa dia ahli Bersatu, ini adalah ‘keyword’ dalam hal ini, maknanya kalau dia keluar daripada parti itu, kelayakan beliau hilang. Dia perlu kosongkan kerusinya dan hilang kedudukan sebagai ahli Parlimen.

“Persoalannya kita tidak tahu sama ada mereka ini meletak jawatan sebelum bertanding ataupun selepas bertanding. Kalau mereka belum letak jawatan, maksudnya ketika bertanding mereka adalah wakil calon Bersatu,” katanya ketika dihubungi.

Pada 10 Disember lalu, kepimpinan Bersatu Sabah mengumumkan keluar daripada parti itu setelah ketuanya, Datuk Seri Hajiji Noor mempertimbang keadaan landskap politik negara ketika ini terutama di Sabah.

Menurut Wan Junaidi, status kesemua ahli Parlimen itu ketika mereka bertanding pada 19 November lalu perlu disahkan terlebih dahulu sebelum tindakan diambil di bawah undang-undang Akta Anti Lompat Parti.

Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun pula enggan memberikan sebarang komen yang boleh menimbulkan sebarang spekulasi.

“Saya tidak boleh komen. I cannot prejudge the issue,” katanya ringkas.

Terdahulu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan sekumpulan pemimpin dan ahli Bersatu Sabah yang bertindak keluar parti bahawa kemenangan mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 2020 adalah atas logo PN. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN