Ranjau politik Sabah kuatkan semangat perjuangan GRS - Hajiji

Ranjau politik Sabah kuatkan semangat perjuangan GRS – Hajiji

HAJIJI Noor berucap dalam Perhimpunan Agung Khas Gagasan Rakyat bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu, hari ini. - IHSAN GRS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Semua pemimpin parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diingatkan mengenai ranjau politik dihadapi gabungan terbabit sejak mengambil alih kerajaan negeri pada 2020.

Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pada masa itu semua sedar aspirasi rakyat Sabah yang tidak mahu terus bergantung kepada percaturan orang lain untuk menentukan masa depan negeri ini.

Jelasnya, Sabah pada masa itu memerlukan satu kekuatan tempatan yang mampu bercakap dengan suara sendiri, membuat keputusan sendiri dan mempertahankan kepentingan rakyat negeri ini.

“Sebab itulah GRS ditubuhkan dan daripada perjuangan itulah, lahirnya Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) sebagai tunjang utama untuk memastikan rumah politik Sabah ini terus kukuh, stabil dan dipimpin oleh perjuangan yang berpaksikan rakyat negeri ini,” katanya berucap dalam Persidangan Agung Khas Gagasan Rakyat bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat berkata, rakyat menyaksikan realiti parti politik negeri ini yang tidak pernah kekal dalam perjuangan bersama berikutan ada pemimpin berubah arah ketika menjelang pilihan raya.

Beliau menegaskan, peristiwa itu membawa pengajaran besar kepada GRS dan parti pimpinannya dalam mencorak perjuangan serta masa depan parti, terutama bagi mengekalkan kestabilan kerajaan negeri.

“Dahulu, ada yang paling lantang bercakap tentang Sabah mesti kuat seperti Sarawak, merekalah yang berkobar-kobar menyeru supaya parti-parti tempatan bersatu, bercakap tentang satu hati, tentang maruah politik Sabah dan perjuangan tempatan untuk rakyat Sabah.

“Tapi, apabila tiba musim ujian, pilihan raya semakin dekat, kuasa dan kedudukan mula menjadi pertimbangan, di situlah kita nampak warna sebenar perjuangan mereka.

“Ada yang mahu keluar, ada yang tiba tiba mahu membawa haluan solo, malah ada juga yang meninggalkan perjuangan hanya kerana jawatan yang diharapkan tidak menjadi miliknya.

“Kita hormati keputusan mereka, kita tidak marah, tidak berdendam. Tetapi rakyat boleh melihat sendiri, siapa yang benar-benar berjuang untuk Sabah?,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan GRS tidak akan menjadi lemah setiap kali berdepan situasi sedemikian, sebaliknya perlu tampil lebih matang, tersusun dan bersatu dalam mempertahankan kestabilan politik negeri.

Hajiji berkata, rakyat Sabah ketika ini tidak lagi mahu mendengar retorik politik semata-mata, sebaliknya menuntut kerajaan yang mampu menyediakan peluang pekerjaan, menggerakkan ekonomi serta menyelesaikan masalah rakyat.

“Apa yang rakyat mahukan ialah pekerjaan, ekonomi yang bergerak, peluang untuk anak-anak mereka dan mahukan kerajaan yang stabil serta mampu menyelesaikan masalah.

“Itulah ukuran politik yang sebenar. Kalau kita terlupa perkara ini, mungkin kita menang di pentas ucapan sahaja tetapi kalah dalam keyakinan rakyat,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri pimpinan GRS mengambil alih pentadbiran Sabah ketika ekonomi negeri terkesan akibat pandemik Covid-19 selain berdepan keadaan politik yang tidak menentu.

Katanya, kerajaan negeri bagaimanapun memilih untuk memberi fokus kepada pemulihan ekonomi, kestabilan politik dan pembangunan jangka panjang menerusi kerangka Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Kita susun semula keutamaan kerajaan, perkemaskan tadbir urus dan fokus kepada kestabilan politik, pemulihan ekonomi serta asas pembangunan jangka panjang negeri.

“Kita tidak menjanjikan perubahan hanya di pentas ucapan. Kita mula membina perubahan itu melalui dasar, pelaksanaan dan hasil yang boleh dirasai rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN