MELAKA: Limpahan cahaya lampu berwarna-warni di Kampung Portugis, Ujong Pasir di sini dijangka menarik kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara dianggarkan antara 20,000 hingga 30,000 orang sempena sambutan Krismas, 25 Disember ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Portugis, Marina Danker berkata, sebanyak 118 buah rumah terus mengekalkan tradisi menyambut perayaan itu dengan sinaran lampu dan perhiasan menarik.
Menurutnya, kira-kira 1,400 penduduk mula membuat persiapan awal menghias rumah masing- masing sejak awal bulan ini.
“Pokok-pokok Krismas sudah mula terdapat di rumah penduduk dihiasi dengan pelbagai lampu limpah bagi menambah tarikan. Tahun ini saya meramalkan antara 20,000 hingga 30,000 pengunjung dari dalam dan luar negara akan berkunjung ke Kampung Portugis.
“Walaupun penduduk tidak membuat sebarang keraian besar seperti rumah terbuka, tetapi sudah memadai hanya menghias rumah dengan lampu warna warni, sudah cukup menjadi tarikan.
“Sambutan tahun ini dijangka lebih meriah memandangkan sanak-saudara dari Singapura khususnya serta dari luar negara akan pulang ke sini untuk menyambut Krismas,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Tambah Marina, sambutan di kampung tersebut telah bermula Ahad lalu dengan meraikan hampir 400 kanak-kanak dalam satu majlis gilang gemilang.
Katanya, majlis tersebut bukan sahaja meraikan kanak-kanak di kampung berkenaan tetapi turut disertai pelbagai kaum termasuk dua Santa Claus.
“Bagi sambutan kali ini, orang ramai yang membawa kereta tidak lagi dibenarkan masuk ke kampung, sebaliknya perlu meletakkan kenderaan di luar kerana hendak mengelak berlaku kesesakan teruk seperti tahun-tahun sebelumnya,” katanya. –UTUSAN