KUALA LUMPUR: Tiga nama sebagai calon Yang Dipertua Dewan Rakyat dan timbalannya telah dihantar untuk dipilih dalam proses pengundian pada Isnin ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, sumber berkata, calon tersebut ialah bekas Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Seri Johari Abdul; bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md. Yusof dan bekas Ahli Parlimen Kangar, Tan Sri Mohd. Radzi Sheikh Ahmad.
“Ia antara nama yang dihantar daripada pihak kerajaan dan pembangkang,” katanya ringkas ketika dihubungi, semalam.
Sebelum ini, Johari mengesahkan beliau menjadi pilihan Pakatan Harapan (PH) bagi jawatan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
TIDAK PASTI
Katanya, nama beliau memang tersenarai, namun, tidak pasti siapa lagi yang telah dicalonkan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat sekarang ini, Tan Sri Azhar Azizan Harun dilantik sewaktu pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Lantikan Azhar Azizan yang juga bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 13 Julai 2020 adalah bagi menggantikan Mohamad Ariff.
Pertukaran tersebut berlaku berikutan perubahan pentadbiran Kerajaan Persekutuan selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri dan diganti oleh Muhyiddin.
Mengulas lanjut mengenai calon Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, sumber menyebut memberitahu, tiga nama telah dihantar iaitu UMNO mewakili Barisan Nasional (BN) dan DAP mewakili PH.
Tiga nama itu adalah Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Ramli Mohd Nor dan Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau.
Selain itu, nama Datuk Rashid Hasnon turut tersenarai bagi jawatan tersebut.
Sebelum ini, media melaporkan, Perikatan Nasional (PN) sudah menghantar dua nama untuk dicalonkan sebagai Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, seorang daripada calon itu adalah bekas menteri dan tokoh dikenali.
Sesi pertama Parlimen ke-15 akan berlangsung selama dua hari bermula 19 Disember ini.
Antara agenda mesyuarat adalah pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan timbalannya, upacara mengangkat sumpah wakil rakyat serta usul Undi Percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sesi Parlimen kali ini dilihat istimewa apabila PH yang sekian lama menjadi seteru BN kini bergabung membentuk kerajaan perpaduan.
Kerajaan itu turut disertai Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan, Muda, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Parti Bangsa Malaysia dan wakil rakyat Bebas. – UTUSAN










