PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam tadi mengumumkan 27 barisan timbalan menteri bagi memperkuatkan saf kepimpinan Kerajaan Perpaduan.
Dalam pengumuman tersebut, barisan timbalan menteri terdiri daripada gabungan parti-parti yang membentuk kerajaan Persekutuan.
Beberapa muka baharu digandingkan dengan pemimpin berpengalaman sebagai timbalan menteri bagi membantu 28 Jemaah Menteri termasuk Perdana Menteri yang sudah diumumkan Jumaat lepas.
Jumlah timbalan menteri itu dihadkan kepada satu bagi setiap kementerian kecuali Kementerian Kewangan mempunyai dua timbalan menteri. Mereka ialah Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim.
Bagaimanapun tidak ada jawatan timbalan untuk Menteri Agama. Kesemua timbalan menteri yang diumumkan itu akan mengangkat sumpah jawatan masing-masing di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shahdi Istana Negara pada pukul 3 petang ini.
Antara nama lain yang dilantik ialah Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah (Timbalan Menteri Dalam Negeri), Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh (Timbalan Menteri Undang-Undang & Reformasi Institusi) dan Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh (Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri & Kos Sara Hidup).
Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan; Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir (Timbalan Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan) dan Ahli Parlimen Pensiangan, Datuk Arthur Joseph Kurup (Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ).
Menurut Anwar, senarai nama timbalan menteri itu dipilih selepas perbincangan dibuat bersama dengan semua ketua parti dan mengambil kita perwakilan dari semua wilayah, wanita dan kalangan muda.
Beliau berkata, senarai nama itu juga telah dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong petang semalam ketika beliau menghadap Seri Paduka.- UTUSAN










