137 mangsa banjir Bukit Changgang masih di PPS

137 mangsa banjir Bukit Changgang masih di PPS

SEHINGGA semalam, banjir masih melanda di sekitar kawasan Bukit Changgang, sementara 137 mangsa ditempatkan di dua PPS di Sepang dan Kuala Langat, Selangor. - Gambar BBP KLIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Seramai 137 mangsa banjir di Bukit Changgang di sini dilapor masih ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berikutan 13 kawasan berterusan digenangi air selama hampir seminggu.

Jumlah tersebut melibatkan 34 keluarga, 23 daripadanya ditempatkan di PPS Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Dengkil dan Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Changgang.

Bagaimanapun, sehingga semalam, terdapat lima kawasan banjir di sekitar Banting seperti Jalan Perak, Jalan Emas Kiri, Jalan Intan Kiri dan Jalan Tembaga dilaporkan semakin surut.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, banjir di tiga kawasan di bawah pemantauan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) KLIA masih berada pada tahap sama, namun tiada PPS baharu dibuka.

“Di bawah pemantauan BBP KLIA, kawasan seperti Labu Lanjut, Salak Budi, Salak Pekerti, Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) dan Sungai Melut paras air sungai adalah statik dan tidak menjejaskan aktiviti penduduk.

“Sementara di Rancangan Tanah Belia (RTB) Bukit Changgang, Jalan Tembaga, dan Taman Seri Changgang masih digenangi air. Sementara itu pemantauan di beberapa kawasan lain di bawah seliaan BBP Sepang dan Semenyih paras air sungai adalah normal dan terkawal,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Sebelum ini, tiga daerah di Selangor iaitu Sepang, Kuala Langat dan Petaling membuka enam PPS bagi menempatkan 58 keluarga yang terdiri daripada 214 mangsa banjir sejak minggu lalu.

Angkatan Pertahanan Awam (APM) Selangor dalam kenyataannya kelmarin memaklumkan, 170 mangsa banjir di tempatkan dekat PPS di Sepang, 25 di Bukit Changgang Kuala Langat dan 16 di Subang Jaya, Petaling.

Dalam pada itu, Norazam memaklumkan banjir berpunca daripada hujan lebat di kawasan rendah berkenaan berhampiran sungai dan aliran lambat keluar menyebabkan air masih bertakung di lokasi terlibat.

“Bagaimanapun, lima BBP iaitu Semenyih, Sepang, KLIA, Banting dan Dengkil terus memantau anak-anak sungai di 19 kawasan termasuk operasi pam air limpahan banjir di Kampung BUkit Changgang,” ujarnya,

Sementara itu, selain di Kuala Langat, beliau memberitahu pemantauan di kawasan lain turut dilakukan melalui pembukaan tiga Pos Kawalan Hadapan (PKH) iaitu Sri Muda, Sungai Lui dan Batu 14.

“Selain itu, kami turut menempatkan Pasukan Gerak Cepat (PGC) di Bukit Jelutong yang menempatkan empat anggota, dua bot dan dua kenderaan pelbagai guna.

“Keseluruhan pemantauan melibatkan seramai 37 anggota dan pegawai yang dibantu empat buah bot, lima kenderaan pelbagai guna dan jentera,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.