13 individu ditangkap curi rel kereta api seberat 72 tan - Utusan Malaysia

13 individu ditangkap curi rel kereta api seberat 72 tan

ANUWAL Ab Wahab (dua dari kanan) menunjukkan tiga buah lori yang turut dirampas susulan kes kehilangan rel kereta api yard Stesen Keretapi Gemas, Tampin baru-baru ini.-GAMBAR/IHSAN POLIS.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Polis menahan seramai 13 individu termasuk seorang wanita susulan kes kecurian rel kereta api seberat 72 tan dengan jumlah kerugian sebanyak RM90,000 dalam kejadian di kawasan yard Stesen Keretapi Gemas, di sini, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab berkata, kesemua suspek berusia 35 hingga 56 tahun ditangkap oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ)  Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan dan pasukan risikan operasi Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Tampin bermula Isnin lalu sehingga hari ini.

Menurutnya, kesemua suspek ditangkap di beberapa lokasi di empat negeri iaitu di Rompin, Pahang; Jalan Campbell, Seremban (Negeri Sembilan), Klang (Selangor) dan Masai (Johor).

“Polis telah menerima laporan daripada seorang wanita yang juga merupakan Pegawai Tadbir, Perbadanan Aset Keretapi (RAC) pada pukul 6.22 petang, Jumaat lalu berhubung kehilangan rel keretapi berkenaan.

“Hasil siasatan mendapati pekerja dari syarikat yang mengaku bekerja di bawah RAC bagi tugas-tugas pengambilan harta benda iaitu besi landasan terpakai telah mengambil rel terpakai tersebut dengan menunjukkan surat palsu dari RAC.

“Menerusi beberapa siri tangkapan serta serbuan tersebut, polis telah merampas barang kes seperti telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux dan dua keping invois pembelian besi buruk,” katanya dalam kenyataan hari ini.

LOKASI kehilangan rel kereta api yard Stesen Keretapi Gemas, Tampin baru-baru ini.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.

Ujar Anuwal lagi, turut dirampas ialah tiga buah lori beserta kunci dan 10 kepingan besi rel seberat kira-kira 24 tan.

“Kesemua suspek kini ditahan reman selama empat hari dari tarikh tangkapan bagi membantu siasatan. Kes di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut bagi kes ini masih diteruskan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya