Zuraida pertaruh sumbangan di KPPK, pertahan Ampang

Zuraida pertaruh sumbangan di KPPK, pertahan Ampang

zuraida
ZURAIDA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyandang kerusi Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin mempertaruhkan sumbangannya di Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) bagi mempertahankan kawasan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

Justeru, Calon Parti Bangsa Malaysia (PBM) itu berharap, pengundi kawasan itu dapat menilai sumbangannya sebelum mengundi pada 19 November ini. 

“Salah satu pencapaian terbesar saya yang memberi impak kepada masa hadapan industri agrikomoditi Malaysia adalah Dasar Agrikomoditi Negara 2021-2030 (DAKN 2030) yang dilancarkan pada Mac 2022.

“Dasar ini dirangka untuk terus memacu pembangunan sektor agrikomoditi negara dalam bentuk yang mapan, berdaya saing dan berorientasikan pasaran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Zuraida yang juga Presiden Pengganti PBM merupakan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri. 

Sebelum itu, Zuraida mendapat dua kali kepercayaan sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, masing-masing di bawah pentadbiran yang diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin (20 Mac 2020 hingga Ogos 2021) dan pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (Mei 2018 hingga Februari 2020).

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, produk-produk agrokomoditi juga melalui tempoh yang menggalakkan dengan lonjakan peningkatan keseluruhan sebanyak 64 peratus sepanjang dua tahun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berbanding tempoh sebelum pandemik. 

“Bukti kepada kejayaan ini adalah, walaupun negara berhadapan impak ekonomi yang buruk akibat penularan pandemik Covid-19, nilai eksport produk agrokomoditi Malaysia meningkat mendadak dalam tempoh empat tahun daripada RM127.9 bilion pada 2018 dan RM128.5 bilion pada 2019 kepada RM151.3 bilion pada 2020 dan RM209.6 bilion pada 2021,” katanya.

Jelas Zuraida, beliau juga memainkan peranan penting dalam membawa minyak sawit Malaysia menembusi pasaran-pasaran baharu antarabangsa. 

Ujarnya, sekurang-kurangnya tiga negara yang tidak pernah mengimport minyak sawit Malaysia, iaitu Estonia, Republik Czech dan Hungary, kini, sudah mula membeli komoditi berkenaan sejak beberapa bulan kebelakangan.

“Ini menunjukkan komoditi berkenaan mendapat penerimaan lebih luas di peringkat global, disokong dengan usaha bersungguh-sungguh KPPK yang melancarkan kempen Gerakan Global Untuk Memperjuangkan Kebaikan Minyak Sawit,” jelasnya. 

PRU15 menyaksikan Zuraida akan mempertahankan kerusi Parlimen Ampang yang disandangnya sejak tahun 2008 dalam pertembungan sembilan penjuru. 

Beliau berdepan cabaran daripada Ivone Low Yi Wen mewakili Barisan Nasional (BN): Rodziah Ismail (Pakatan Harapan); Sasha Lyna Abdul Latif (Perikatan Nasional) dan Nurul Ashikin Mabahwi (Parti Pejuang).

Empat calon lain adalah Lai Wai Chong dari Parti Warisan dan tiga calon Bebas, Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos, Tan Hua Meng serta M. Raveendran. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.