PUTRAJAYA: Suruhanjaya Kedaulatan Negara perlu ditubuh untuk mengukuhkan dan menyebar luas kefahaman prinsip kedaulatan negara serta melaksanakan pemantauannya demi kedaulatan undang-undang dan perpaduan nasional berteraskan kerangka utama Perlembagaan Persekutuan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar Perlembagaan, Datuk Prof. Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata,, penubuhan suruhanjaya itu yang mempunyai status dan kepentingan seumpama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) agak kritikal kerana timbul pelbagai pertikaian tentang perkara-perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Justeru, beliau berkata, barisan Kabinet pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan setiap ahli Parlimen tidak boleh memprejudiskan pelaksanaan prinsip kedaulatan negara khususnya seperti termaktub dalam Perkara 38(4) dan Perkara 159(5) Perlembagaan Persekutuan yang mana sebarang pindaan tidak boleh dibuat tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.
“Pada sisi lain, warganegara Malaysia dilihat seolah-olah masih mencari identiti bangsa Malaysia sedangkan ciri-cirinya sudah digariskan oleh Perlembagaan Persekutuan.
“Justeru, selaras dengan prinsip kedaulatan negara maka amat mustahak Perkara 159(5) dan 38(4) Perlembagaan Persekutuan terus dijunjung tinggi setiap warganegara dan menjadi ciri-ciri jati diri bangsa Malaysia yang merdeka,” katanya di sini semalam.
Wan Ahmad Fauzi berkata, setiap ahli Parlimen dan jemaah menteri disyaratkan untuk mengikrarkan sumpah jawatan seperti di Jadual Keenam Perlembagaan Persekutuan untuk memelihara, melindungi serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, sumpah itu sekali gus menuntut setiap ahli Parlimen dan jemaah menteri perlu taat dan patuh pada prinsip kedaulatan negara.
Dalam hal itu, beliau berkata, dalam maksud memberi kefahaman kepada setiap warganegara berhubung prinsip kedaulatan negara, maka suruhanjaya itu akan bertanggungjawab ke atas tiga perkara utama.
Perkata utama kata beliau ialah penubuhan sebuah pusat penyelidikan iaitu Institut Kedaulatan Negara untuk mendalami kajian dan menghasilkan penulisan tentang prinsip kedaulatan negara dan jati diri bangsa Malaysia.
Selain itu ialah, ia bertindak sebagai badan perundingan untuk menyemak rang undang- undang dan dasar-dasar kerajaan agar selari dengan prinsip kedaulatan negara dan pembinaan jati diri bangsa Malaysia.
“Ia juga bertindak sebagai badan pemantau berkaitan hal ehwal pematuhan prinsip kedaulatan negara di Malaysia
“Prinsip kedaulatan negara merupakan kedaulatan undang-undang, justeru ia perlu dijunjung sebagai teras perpaduan nasional.
“Watan tanah air perlu disebar luas untuk menjadi teras perpaduan nasional dan tidak sewajarnya terus dibiarkan tercabar oleh anasir-anasir yang cuba menyebarkan propaganda yang mengikis jati diri Malaysia,” katanya. –UTUSAN