KUANTAN: Pemantauan Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) selama lebih dua minggu bermula Jun lalu mendapati, harga makanan dan minuman di seluruh negara mencatatkan kenaikan mendadak antara 20 hingga 40 peratus.
Tinjauan oleh 300 anggota yayasan itu mengesan, pengguna bukan sahaja berdepan situasi harga makanan meningkat secara drastik, malah saiz hidangan turut menyusut sehingga 50 peratus.
Presiden YPNM, Datuk Dr. Mohd. Firdaus Abdullah berkata, antara makanan yang berlaku kenaikan harga ialah nasi goreng kosong dan mi goreng mamak yang dijual sehingga RM9 sepinggan berbanding antara RM6 ke RM7 sebelum ini.
“Tinjauan juga mendapati harga roti canai naik kepada RM2.20 daripada RM1.50 sekeping sedangkan kandungan bahan dan saiznya jauh lebih kecil berbanding sebelum ini.
“Roti canai yang dahulunya tebal dan mengenyangkan, kini hanya tinggal ‘bayangan’ dengan dua keping roti sekarang bersamaan saiz satu keping roti dahulu,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohd. Firdaus berkata, kenaikan itu bukan sahaja terhad kepada makanan berasaskan roti dan mi, bahkan melibatkan pelbagai jenis kuih-muih, pisang goreng dan lauk-pauk.
“Harga kuih mencecah RM1 sepotong, pisang goreng yang dahulu empat keping RM1 kini hanya dua keping untuk harga sama,” katanya.
YPNM mendedahkan, harga makanan berasaskan ikan amat membebankan pengguna, misalnya patin dijual RM15 sepotong dan tenggiri goreng RM10 untuk potongan setengah inci.
“Tinjauan yayasan juga mendapati ayam yang digunakan dalam hidangan nasi ayam semakin kecil. Dahulu ayam seberat 1.5 kilogram (kg) dipotong 10 bahagian, sekarang ayam 1kg dipotong kepada 12 bahagian,” katanya.
Mohd. Firdaus berkata, kenaikan harga makanan dan minuman secara mendadak itu menunjukkan fenomena shrinkflation iaitu amalan mengurangkan saiz produk sambil mengekalkan harga bagi merangsang atau mengekalkan margin keuntungan akibat peningkatan kos bahan mentah semakin berleluasa di negara ini.
“Fenomena ini turut menyebabkan pengguna bukan sahaja perlu bayar lebih, malah terpaksa menambah hidangan seperti nasi putih pada harga RM2.50 hingga RM3 sepinggan berbanding RM1 hingga RM1.50 sebelum ini,” katanya.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup perlu bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan untuk meningkatkan pengeluaran domestik ayam, ikan dan hasil tani bagi mengurangkan kebergantungan import. – UTUSAN











