PETALING JAYA: Ledakan ‘tsunami Melayu’ dan kehadiran 5.8 juta pengundi baharu antara faktor yang menyumbang kekalahan kawasan kubu kuat Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kelmarin.
Sebaliknya, perubahan itu memberi kelebihan kepada PN dengan Pas paling banyak memenangi kerus iaitu 43 daripada 70 kawasan ditandingi yang jelas wujud penerimaan sokongan pengundi Melayu kepada parti tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis politik dari Pusat Perdana Fakulti Razak Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mazlan Ali berkata, pengundi-pengundi terbabit adalah dalam kalangan orang Melayu yang memiliki jati diri Melayu-Islam atau Ultra Melayu termasuk penyokong UMNO sendiri didapati cenderung kepada PN kerana mahu sebuah platform alternatif untuk mengangkat dan memperjuangkan nasib kaum tersebut di negara ini.
Katanya, penolakan itu berlaku akibat isu-isu integriti yang membabitkan pemimpin-pemimpin UMNO yang akhirnya diterjemahkan dalam kertas undi sehingga PN khususnya Pas berjaya mendominasi jumlah kemenangan PRU15, kelmarin.
“Malah pengundi muda berusia 18 dan 20 tahun tertarik dengan cara kempen PN yang bijak menarik perhatian khususnya di media sosial. Berbanding parti lain, Pas dilihat agresif menggerakkan kempen PRU15 melalui media sosial sekali gus memberi kelebihan pada kali ini.
“Akhirnya kedua-dua faktor mendorong kepada satu tsunami politik termasuk dalam kalangan pengundi Melayu sehingga bukan sahaja mengurangkan jumlah kerusi UMNO dan BN tetapi juga PH sendiri,” katanya.
Beliau mengulas keputusan PRU15 yang mengejutkan, apabila PN khususnya Pas mendominasi kemenangan apabila meraih 73 kerusi berbanding BN dengan 30 kerusi.
Antara nama-nama besar yang tewas mengejut antaranya Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar di Permatang Pauh; bekas Ketua Wanita PKR, Fuziah Sallah di Kuantan dan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi di Gerik di samping kejayaan menawan kubu DAP di Alor Setar oleh Timbalan Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Dalam pada itu, Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd. Muis tidak menolak peralihan undi Melayu yang selama ini memihak BN kepada PN berpunca sikap pemimpin UMNO yang menolak kerjasama Muafakat Nasional (MN) yang selama ini mendapat sokongan padu dalam kalangan akar umbi parti dan Pas.
Katanya, kegagalan untuk memahami sentimen itu mencetuskan perasaan tidak puas hati ahli bawahan yang akhirnya diterjemahkan dalam keputusan PRU15 semalam.
“Jika pemimpin UMNO mendengar hasrat akar umbi yang mahu MN diperkasa, saya percaya UMNO bersama Pas dapat majoriti dua pertiga dalam PRU15, sebaliknya BN memutuskan bergerak solo manakala Pas memilih Bersatu di bawah PN.
“Hakikatnya Tsunami Melayu yang berlaku dalam keputusan PRU15 mencerminkan hakikat sebenar MN apabila banyak merampas kubu kuat PH dan menewaskan nama-nama besar PKR sendiri,” katanya.
Sementara itu, bekas Pesuruhjaya Pas Melaka, Datuk Kamarudin Sidek berkata, beliau mengakui ketiga-tiga faktor itu menjadi pencetus Tsunami Melayu sehingga Pas berjaya menawan lapan negeri iaitu Perlis, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Melaka yang sebelum tidak pernah dibayangkan parti itu selama ini.
Katanya, paling menarik perhatian adalah sokongan pengundi muda yang mengundi PN dan PN sekali gus memperlihatkan penerimaan mereka sebagai saluran alternatif berbanding UMNO-BN.
“Malah wujud protes undi dalam kalangan penyokong UMNO sendiri yang kemudian memangkah PN setelah mereka tidak bersetuju dengan keputusan pemimpin sendiri yang tidak mencalonkan anak tempatan dengan calon luar.
“Undi protes UMNO di samping peningkatan pengundi muda serta Tsunami Melayu akhirnya mencetuskan keputusan tidak disangka seperti mana keputusan PRU15 semalam,” katanya. – UTUSAN










