Tragedi kepala air buka mata pengundi

Tragedi kepala air buka mata pengundi

ABDUL Azeez Abdul Rahim (kiri) bersama penduduk memeriksa keadaan Sungai Kupang yang terjejas akibat kepala air dan banjir lumpur di Kupang, Baling, Kedah. -UTUSAN/NORLIA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING: Bencana kepala air dan banjir lumpur yang melanda Kampung Iboi dan beberapa penempatan lain awal Julai lalu membuka mata penduduk untuk memilih pemimpin yang mampu menjaga kebajikan dan sosioekonomi rakyat.

Penduduk kampung Kuala Kuang, Mahathir Ismail, 45, berkata, berbanding Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), rakyat lebih fanatik kepada parti, kali ini mereka tidak memilih parti sebaliknya pemimpin yang dekat di hati rakyat.

“Kami memilih pemimpin yang dapat membantu rakyat Baling, penduduk lega apabila wakil rakyat sentiasa bersama terutama apabila ditimpa musibah dan terus dapat membantu maka itulah pemimpin yang kami cari.

“Golongan muda pula tidak peduli dan tidak mahu ambil tahu tentang rasuah, penyamun dan sebagainya kerana bagi mereka ia tiada kesan dan bukan masalah mereka. Mereka cuma mahu pemimpin itu dekat dengan mereka, senang berjumpa dan cepat menyelesaikan masalah,” katanya ketika ditemui, semalam.

Penduduk Kampung Bukit Iboi, Azhar Md. Isa, 36, pula berkata, sejak kampungnya dilanda banjir dan kepala air, rakyat nampak pelbagai kerenah dan gelagat pemimpin sama ada setempat mahupun di peringkat negeri atau Pusat.

“Tidak semua pemimpin berjiwa rakyat dapat menyelami hati dan perasaan kami, setakat ini hanya nampak pemimpin Barisan Nasional (BN) yang sentiasa ambil tahu masalah kami. Berkali-kali ditimpa musibah, yang datang awal membantu adalah BN, wakil atau pemimpin lain terutamanya calon-calon yang bertanding PRU15 kali ini belum kami temui.

“Sebagai golongan muda, kami harap mereka yang menang lebih mendekati golongan ini dan tidak mahu dengar lagi isu-isu mengarut, menjanjikan pelbagai perkara termasuk mengaitkan isu agama dan sebagainya, kami mahu mereka tunaikan apa yang dijanjikan,” katanya.

Sementara itu, penduduk Taman Mesra, Zakaria Abdul Aziz, 43, berkata, mereka mengharapkan pemimpin yang bertanggungjawab kepada semua lapisan rakyat dan tidak memilih ketika membantu.

“Ada pemimpin yang membantu ahli-ahlinya sahaja sedangkan yang ditimpa musibah adalah rakyat yang terdiri daripada pelbagai golongan dan pegangan politik. Dari sini kami dapat lihat gelagat pemimpin yang hanya mahukan jawatan tetapi mengabaikan kebajikan rakyat.

“Kami tidak akan menyokong wakil rakyat yang bercakap kosong bagi menyenangi hati rakyat, kami di sini juga terkesan dengan banjir dan memerlukan bantuan seperti mangsa lain dapat, jangan pinggirkan kami walaupun kami ini pesara tentera dan polis, guru pencen dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, calon BN Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, kestabilan dan kemakmuran yang diterajui BN bukan sahaja dapat menyelesaikan pelbagai masalah, malah dapat membantu keperluan dan menjaga kebajikan rakyat di seluruh negara.

“Saya tidak pandai bermain politik hasutan, fitnah atau caci maki melainkan hanya memikirkan bagaimana boleh melaksanakan kebajikan dan pembangunan di Baling, selain mencari penyelesaian mengenai kerosakan alam semula jadi di Gunung Inas yang menyebabkan penduduk berdepan pelbagai masalah sehingga terpaksa guna air keruh,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×