KOTA BHARU: Pas menegaskan tiada keperluan untuk calon parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengisytiharkan harta mereka kepada umum.
Timbalan Pesuruhjaya Pas 1 negeri, Datuk Mohd. Amar Abdullah bagaimanapun berkata, jumlah aset itu hanya dimaklumkan kepada Menteri Besar.
“Kita tidak boleh mendedahkannya (harta) kepada orang awam kerana ia ada baik dan buruknya. Bila orang tahu kita ada harta banyak, mungkin ada implikasi negatif.
“Oleh itu kita ambil pendekatan tidak berbuat demikian (isytihar harta). Lagi pun orang Pas tak ada harta banyak dan malu juga sedangkan orang lain berjuta-juta,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Cek Bayaran Caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri Penghulu Mukim Dan Tanpa Mukim Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.
Sumbangan cek RM31,932.40 diserahkan kepada Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Kelantan, Nora Yaacob.
Mohd. Amar yang juga Timbalan Menteri Besar memberitahu, pengisytiharan harta itu juga kebiasaan melibatkan penjawat awam.
“Tidak mendedahkannya adalah lebih baik. Kadang-kadang kita baca mereka yang isytihar harta timbul pula betul ke atau tidak,” ujarnya.
Sebelum itu, beberapa calon PRU15 mengambil tindakan berani membuat pendedahan harta masing-masing kepada umum. – UTUSAN