MUKADIMAH
Berdepan lima penjuru termasuk ‘murid’nya sendiri dalam gelanggang politik, sukar meramalkan adakah kerusi panas Parlimen Gombak yang dipegang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk tiga penggal bakal bertukar tangan.
Bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) kali ini, keyakinan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri ini tetap tinggi bersandarkan sentimen sokongan pengundi sepanjang tempoh berkempen.
Namun kekeliruan serta polemik yang timbul dalam berikutan beberapa kenyataan kontroversi oleh anggota perikatan yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu dilihat memberi impak kepercayaan kepada pengundi.
Melontarkan pandangan serta keyakinan kepada wartawan Utusan Malaysia, ALIF FADLI MOHD. SORI, Ketua Penerangan PN itu memberi jaminan kestabilan perikatan itu mampu mencipta kejayaan.
Utusan:Tiga penggal memenangi kerusi Parlimen Gombak, ada yang beranggapan ini adalah kubu kuat Azmin Ali? Keyakinan terhadap sokongan pengundi bagaimana?
AZMIN: Tidak dinafikan, di Gombak, saya selesa dan bersyukur apabila sambutan serta maklum balas rakyat positif.
Kehadiran saya bukan sekadar dalam tempoh dua minggu berkempen, sebaliknya rakyat tahu kerja serta khidmat saya untuk tiga penggal.
Mereka bersandarkan setiap pembangunan yang telah diwujudkan di Gombak dengan kerjasama komuniti di sini. Sekolah, masjid, rumah ibadat dan kemudahan awam adalah bukti kecemerlangan saya.
Saya mahu Gombak bukan sahaja daerah yang pesat membangun dari segi kemajuan, prasarana tetapi berdiri sebagai liveable city yang mampu mencipta kebahagiaan dan kesejahteraan buat penduduk.
Keyakinan itu ada tetapi saya akan terus berkhidmat dan bekerja keras terutama menghampiri 24 jam terakhir kempen. Saya percaya, pengundi tahu dan sedar dengan kemampuan PN membentuk kerajaan prihatin, bersih dan stabil.
Di peringkat nasional, bagaimana sentimen sokongan pengundi terhadap PN, Sebagai sebuah gagasan yang membentuk kerajaan campuran ketika pandemik, apakah sambutan dan sokongan boleh dilihat?
Apabila Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat tawaran, itu mendapat sambutan yang cukup baik. Tawaran PN praktikal dan boleh dilaksana. Malah jika kita lihat kepimpinan bekas Perdana Menteri kelapan itu, inilah inisiatif yang telah dilaksanakan akan diteruskan.
Bukan kita datang untuk menabur janji tetapi prinsip pimpinan PN berikrar meneruskan dasar-dasar pro-perniagaan, kelestarian ekonomi dan sosial.
Kalau dalam tempoh pandemik pun PN boleh wujudkan 539,000 peluang pekerjaan, maka sasaran satu juta pekerjaan berkemahiran boleh dicapai. Satu indikasi kecemerlangan untuk anak-anak muda.
Kajian IDE meramalkan tempoh tiga penggal dipegang YB akan berakhir di tangan calon Pakatan Harapan (PH). Boleh ulas?
Apakah saudara dan rakyat tidak tahu siapakah pemilik IDE itu? Cukuplah, jawapannya ada di situ.
Saya telah menjelajah di banyak negeri dan berkempen secara total di Gombak, sambutan cukup meyakinkan. Soal ramalan? Kaji siapa pemilik IDE itu.
Pihak lawan menggunakan naratif kemungkinan penggabungan PN dan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan. Bagaimana YB melihat sentimen yang cuba diwujudkan?
Propaganda akan kekal sebagai propaganda. Di dalam tempoh getir ini, pastinya pelbagai propaganda diwujudkan.
Pendapat berhubung kecelaruan dan kekeliruan yang timbul lantaran pelbagai kenyataan kontroversi dikeluarkan calon-calon Pas memberi impak kepada PN?
Dari segi prinsip dan pendirian PN adalah jelas. Kita mewakili semua rakyat Malaysia. Jika ada keterlanjuran, saya pasti pihak yang menzahirkan isu tersebut sudah meminta maaf.
Pengerusi PN juga sudah mengambil tanggungjawab bagi pihak gagasan ini. Jadi tiada perkara berbangkit. Bukan tujuan untuk menyinggung mana-mana pihak, cuma jika ada keterlanjuran, kita akan ambil tanggungjawab itu.
Kita harus lihat rangka yang lebih besar. Dasar-dasar dan manifesto yang ditawarkan PN. Itu seharusnya dilihat dan dinilai kerana mampu menjamin masa depan negara secara total.- UTUSAN










