PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) tidak boleh membentuk kerajaan Pusat tanpa ada majoriti mudah 112 kerusi meskipun gabungan itu menguasai 82 kerusi Parlimen berbanding parti lain dalam pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengamal undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, tafsiran ayat ‘mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat’ dalam Perkara 43 (2)(a) Perlembagaan Persekutuan juga menjelaskan bahawa seorang calon Perdana Menteri hendaklah memperoleh sokongan majoriti mudah ahli parlimen terlebih dahulu.
Justeru, menurut beliau, PH tidak sepatutnya mendabik dada mengatakan mereka mempunyai kelebihan dan wajar diberi laluan menghadap Yang di-Pertuan Agong membentuk kerajaan sedangkan jumlah kerusi dimenangi tidak kukuh.
“Misalnya Perikatan Nasional (PN) yang memiliki 73 kerusi, tiba-tiba disokong 22 wakil rakyat daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan enam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) maka keseluruhannya mempunyai 101 kerusi berbanding PH 82 kerusi,” katanya.
Sejurus keputusan PRU15, Anwar mendakwa PH parti daripada blok terbesar memperoleh jumlah mencukupi untuk membentuk kerajaan dengan suara majoriti.
MELANGGAR
Sementara itu, Mohamed Haniff berkata, mana-mana ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang menyokong PH memakan diri kerana tindakan itu sebenarnya melanggar ketetapan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) iaitu ‘Tiada Anwar, Tiada DAP’.
“Jika BN mempunyai peraturan memecat keahlian wakil rakyat kerana tidak mengikut arahan parti dan boleh menyebabkan kerusi mereka kosong serta-merta, maka sokong PH dianggap langgar arahan dan kerusi parlimen juga kosong,” katanya.
Oleh itu, kata beliau, tindakan menyokong PH dianggap melanggar arahan parti akan mengakibatkan pelepasan keahlian parti hingga menyebabkan kekosongan kerusi parlimen selaras dengan undang-undang larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti seperti yang termaktub di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan.
“Berbanding sokong PN, sehingga kini tiada peraturan diputuskan UMNO untuk melarang mana-mana ahli mereka menyokong gabungan parti itu,” katanya.
Bagaimanapun, menurut beliau, Akta Anti Lompat Parti dilihat masih mempunyai kelompangan kerana undang-undang itu tidak dibaca bersama undang-undang pelantikan Perdana Menteri di bawah Perkara 43 (2)(a) untuk memberi ruang kepada ahli parlimen secara individu untuk menyokong seorang anggota Dewan Rakyat membentuk Jemaah Kabinet.- UTUSAN










