JOHOR BAHRU: Jabatan Imigresen Johor berjaya menggagalkan cubaan menyeludup migran yang turut didalangi pegawai jabatan berkenaan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini awal pagi ini.
Pengarahnya, Baharuddin Tahir berkata, pihaknya berjaya menahan seramai 14 individu terdiri daripada dua ‘transporter’ warga tempatan dan 12 migran warga Indonesia serta kini giat memburu pegawai imigresen yang dipercayai terlibat dan akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang.
“Pada pukul 7.20 pagi, pegawai kastam memeriksa dua buah kenderaan, iaitu sebuah Perodua Alza dan Toyota Vios dinaiki sekumpulan 12 warga Indonesia terdiri daripada sembilan lelaki dan tiga wanita.
“Mereka berusia dalam lingkungan 20-an hingga 40-an manakala pemandu kedua-dua kenderaan itu merupakan lelaki warga tempatan berusia 52 dan 24 tahun.
“Semasa pemeriksaan pasport dibuat pegawai kastam terbabit, pihaknya mendapati kesemua pasport warga Indonesia itu tidak mempunyai cop imigresen lalu bertindak menghubungi pegawai sebelum menahan kesemua suspek.
“Selepas pemeriksaan dijalankan, pihak berkuasa mendapati 10 migran berada dalam senarai syak dan dilarang daripada memasuki negara, manakala dua lagi berada dalam kenderaan sama,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Setia Tropika, di sini hari ini.
Baharuddin berkata, siasatan awal mendapati sindiket terbabit mengenakan bayaran berjumlah 10 juta rupiah atau RM3,000 kepada setiap migran yang disenarai hitam untuk dibawa masuk ke negara ini menerusi kaedah berkenaan.
“Modus operandi yang digunakan adalah mereka akan dibawa dari Batam, Indonesia ke Singapura terlebih dahulu sebelum dibawa masuk ke Malaysia melalui jalan darat iaitu akan terdapat pegawai imigresen yang membantu melepaskan mereka tanpa pemeriksaan.
“Kita sedang menyiasat adakah sindiket ini mempunyai kaitan dengan sindiket yang dikesan membawa masuk seramai 25 migran di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Iskandar Puteri pada 12 Oktober lalu,” katanya.
Baharuddin turut memberitahu, kesemua suspek ditahan reman selama 14 hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 6(1)C dan Seksyen 55a (1) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.
“Imigresen Johor memandang serius terhadap kegiatan penyeludupan migran yang berlaku dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai yang terlibat dalam kegiatan tersebut,” tegasnya. –UTUSAN










