KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan perbicaraan selama 15 hari bermula 27 Mei 2027 bagi kes perniagaan sekuriti tanpa lesen melibatkan tokoh kewangan Islam, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar dan ahli perniagaan, Datuk Mahadi Badrul Zaman.
Hakim Mohd. Kafli Che Ali menetapkan tarikh perbicaraan pada 27 dan 28 Mei, 23 dan 30 Julai, 9 hingga 11 Ogos, 18 dan 19 Ogos serta 6 hingga 8 dan 27 hingga 29 September tahun hadapan.
Pada prosiding sama, mahkamah turut menetapkan 17 hari perbicaraan bagi satu lagi kes melibatkan Mahadi, 43, dan seorang pengarah syarikat, Muhamad Iqbal Mohamad, 47, bagi pertuduhan serupa di mahkamah berbeza.
Tarikh perbicaraan bagi kes itu ditetapkan pada 29 hingga 31 Mac, 19 hingga 21 April, 26 dan 27 April, 10 hingga 12 Mei, 14 hingga 16 Jun serta 12 hingga 14 Julai.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Sekuriti (SC), K. Mageswary memaklumkan pihak pendakwaan dijangka memanggil seramai 25 saksi sepanjang perbicaraan bagi kedua-dua kes tersebut.
Mahkamah turut sebutan semula kedua-dua kes itu pada 19 November ini.
Pada prosiding terdahulu, Mahadi yang juga suami kepada selebriti Heliza Helmi dan syarikatnya AUF MBZ Consortium PLT masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menjalankan suatu urusan dalam aktiviti terkawal iaitu berniaga dalam sekuriti tanpa lesen dalam dua tempoh berasingan.
Perbuatan itu didakwa dilakukan bersama Mohd. Daud antara 14 Jun 2021 dan 9 Ogos 2023 serta bersama Muhamad Iqbal antara 3 September 2021 dan 15 Februari 2024.
Sebelum ini, Mohd. Daud sebagai wakil Energy Eco Berhad dan Muhamad Iqbal sebagai pengarah QEW Group Berhad juga mengaku tidak bersalah selepas didakwa bersubahat dengan syarikat berkenaan bagi kesalahan sama.
Kesemua pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan boleh dihukum di bawah subseksyen 58(4) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pada prosiding hari ini, Mohd. Daud diwakili peguam bela, Aiman Abdul Rahman; Mahadi diwakili Datuk Mohd. Zamri Mohd. Idrus manakala AUF MBZ Consortium PLT pula diwakili peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mohamud dan Dhia Syazwani Izyan Mohd. Akhir. – UTUSAN










