fbpx

[Sidang DUN] Telur ayam kurang kerana tiada kawalan eksport

IZHAM Hashim ketika sesi soal jawab mesyuarat tersebut di Bangunan Annex, Shah Alam, Selangor hari ini-UTUSAN/ MOHAMAD NAUFAL MOHAMAD IDRIS

SHAH ALAM: Situasi jumlah telur ayam yang kurang di pasaran negara dan di negeri Selangor ketika ini disebabkan tiada kawalan kuota eksport bagi bahan makanan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir. Izham Hashim berkata, hal ini membuatkan pengeluar telur ayam boleh menjual bahan makanan tersebut tanpa had ke luar negara.

“Kenaikan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS) mendorong segelintir peniaga mengeksport telur ayam yang dijual mereka ke luar negara bagi mendapatkan keuntungan lebih.

“Kalau ikut tahap kemampuan saraan diri bagi Malaysia, sebenarnya mencatatkan 113 peratus pengeluaran telur dan boleh mencukupi, namun, apabila tiada kawalan, jadi tidak cukup,” katanya pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor di Bangunan Annex, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banting yang bertanyakan soalan, sama ada program Jelajah Ehsan Rakyat (JER) yang diusahakan kerajaan negeri mencapai objektif bagi menurunkan harga barang keperluan di negeri itu.

Izham berkata, dasar serta polisi berhubung kawalan harga bahan makanan keperluan terletak di bawah bidang Kerajaan Persekutuan dan bukannya kerajaan negeri.

Justeru itu, JER hanyalah salah satu usaha kerajaan Selangor bagi membantu rakyat negeri itu yang terbeban dengan kos sara hidup mereka dalam tempoh pasca pandemik Covid-19.

“Setiap barangan keperluan harian yang dibawa dijual pada harga lebih rendah iaitu antara 28 hingga 30 peratus meliputi ayam, daging, ikan, telur, beras dan minyak masak.

“Setakat 30 Oktober lalu, lebih 200,000 penduduk Selangor telah menikmati manfaat daripada program JER,” ujarnya. –UTUSAN

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN