KANGAR: Calon Bebas bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Perlis, Datuk Azhar Ahmad mengambil keputusan bertanding bagi membuktikan kepada UMNO bahawa beliau adalah ‘winnable candidate’ atau calon boleh menang sebenar yang mendapat sokongan akar umbi.
Katanya yang sudah menjangkakan pengguguran sebagai ahli UMNO selepas bertanding Bebas, Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah yang pilihan raya umum kedua baginya apabila tidak disenaraikan sebagai calon Barisan Nasional (BN).
Katanya, dia mempunyai sokongan yang kuat di peringkat akar umbi kerana sudah lama membantu penduduk di situ termasuk semasa pandemik Covid-19 sebelum ini.
“Walaupun yakin saya boleh memenangi kerusi Kuala Perlis untuk BN pada waktu itu (PRU14), namun, nama saya tidak tersenarai, begitu juga pada pilihan raya kali ini meskipun di peringkat akar umbi mahukan saya,” katanya ketika ditemui di Kuala Perlis di sini hari ini.
Azhar yang sebelum ini pernah menjawat jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian Kangar mengambil keputusan untuk bertanding calon Bebas menggunakan logo kunci.
Kerusi DUN Kuala Perlis dijangka sengit apabila berlaku pertembungan lima penjuru membabitkan penyandang kerusi itu, Nor Azam Karap (PH), bersama Kamaruddin Malik (BN), Abu Bakar Hamzah (PN), Muhamad Hairi Noordin (Warisan) dan Azhar.
Ditanya mengenai saingan daripada parti lain, Azhar berkata, dia optimis sokongan pengundi akan memihak kepadanya.
Katanya, keyakinan untuk merampas kerusi itu daripada PH susulan kempen bertemu beberapa pemimpin masyarakat di Kuala Perlis mendapat maklum balas positif serta sokongan kuat sepanjang tempoh empat tahun ini. –UTUSAN










