PENDANG: Kebenaran mengeksport daun ketum ke Thailand daripada kerajaan Persekutuan akan diusahakan kerajaan negeri bagi membantu meningkatkan ekonomi rakyat Kedah.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, pihaknya optimis langkah itu boleh direalisasikan sekiranya rakyat memberi mandat kepada Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.
“Insya-Allah, bakal Perdana Menteri kita yang ke-10 (Tan Sri Muhyiddin Yassin) nanti mengusahakan sesuatu untuk penanam-penanam ketum, kita akan usaha sampai jadi.
“Saya yakin hal ini dipertimbang kerajaan Persekutuan. Kita ini negeri miskin, kalau jual ketum di sini RM30 sekilogram dan kalau seludup jual di Siam (Thailand) jadi RM150, sebab itu kita perlu benarkan eksport ketum ini,” katanya ketika berucap pada Siri Jelajah PN Parlimen Pendang, di sini malam tadi.
Muhammad Sanusi berkata, usaha itu hampir menjadi realiti sebelum ini namun tertangguh setelah kerajaan membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15.
“Kalau tidak, semua orang (yang tanam ketum) di Pendang ini sudah jadi jutawan. Kalau tak benarkan ada yang rebus di rumah orang beli sampai jadi hitam kulit (minum), lepas itu kepala pening. kita tak mahu orang kita ‘rosak’.
“Apabila kita eksport ke sana mereka akan proses jadi ubat, minuman berkhasiat dan pelbagai teknologi lagi ada untuk tujuan kesihatan. Ada juga kes orang seludup daun ketum lari sehingga jatuh gaung dan mati. Kalau dia tak perlu lari mungkin dia hidup sampai sekarang,” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, lesen mengeksport daun ketum dicadangkan diberi kepada anak syarikat kerajaan negeri atau syarikat tertentu supaya ia dapat dikawal jika aktiviti eksport dibenarkan.
“Bukan saja orang Pendang boleh jadi jutawan, malah orang Sik dan Padang Terap juga boleh kaya, tapi sesiapa yang tak tanam lagi jangan tanam, tunggu dulu,” katanya. – UTUSAN










