PRU15: Tiket bas, kereta api laris - Utusan Malaysia

PRU15: Tiket bas, kereta api laris

PENGENDALI bas ekspres memberitahu tiket bas habis dijual menjelang hari membuang undi, Sabtu ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jumlah tiket bas dan kereta api yang dijual mencapai hampir 100 peratus daripada kuota disediakan sempena hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) esok.

Yang Dipertua Persatuan Bas Ekspress Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa), Laili Ismail berkata, permintaan tiket bas tinggi sempena PRU15 dan kira-kira 200,000 tiket terjual setakat ini.

“Setakat ini, dalam anggaran 200,000 tiket bas telah dijual yang berjumlah kira-kira RM10 juta untuk 20 syarikat bas di bawah Pembawa.

“Bagaimanapun, 25 peratus daripada 722 buah bas yang ada tidak dapat beroperasi kerana kesan daripada Covid-19 dan perlu penyelenggaraan,” kata­nya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Menurut beliau, tiket bas sudah habis sejak 15 November dan Pembawa telah menyediakan beberapa buah bas tambahan tetapi difahamkan turut penuh.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan permintaan tiket bas dan kereta api melonjak sempena PRU15 sehingga terdapat aduan mengatakan tiket habis dijual.

Jurucakap Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pula berkata, melalui data dikemas kini pada 17 November 2022 bagi perjalanan tren ETS dan tren KTM intercity, lebih 95 peratus tiket menuju semua destinasi telah dijual.

Menurutnya, orang ramai mula membeli tiket lebih awal selepas pengumuman tarikh PRU15, manakala tiket tambahan mula dijual pada 1 November.

DIJUAL

“Sebanyak 98 peratus tiket dijual bagi sektor Kuala Lumpur – Ipoh, 88 peratus bagi Kuala Lumpur – Butterworth, 86 peratus bagi Kuala Lumpur – Padang Besar dan 99 peratus bagi Kuala Lumpur – Tumpat.

“Bagi yang menghala ke pusat bandar, 98 peratus telah dijual bagi sektor Ipoh – Kuala Lumpur, 87 peratus bagi Butterworth – Kuala Lumpur, 89 peratus bagi Padang Besar – Kuala Lumpur dan 70 peratus bagi Tumpat – Kuala Lumpur,” ujarnya.

Jurucakap KTMB itu turut berkata, KTMB menawarkan sebanyak 2,520 tiket tambahan pergi dan balik bagi laluan KL Sentral – Butterworth – Padang Besar – KL Sentral dan telah menjual 2,119 tiket.

Selain itu, sebanyak 1,432 tiket tambahan pergi dan balik telah ditawarkan bagi laluan KL Sentral – Tumpat – KL Sentral, dan sebanyak 1,303 tiket dijual.

Sementara itu, tinjauan di Lebuh Raya PLUS Selatan dan Timur serta Lebuhraya Pantai Timur (LTP) pada petang semalam, menunjukkan trafik masih terkawal, bagaimanapun jumlah kenderaan dijangka bertambah sehingga hari ini.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN