PUTRAJAYA: Seramai 1,386 calon layak bertanding bagi merebut kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di seluruh negara.
Jumlah itu melibatkan 945 calon bertanding untuk 222 kerusi Parlimen iaitu meningkat hampir 28 peratus berbanding PRU14 lalu dengan 687 calon memasuki gelanggang.
Bagi peringkat DUN, seramai 441 calon bertanding di 117 kerusi iaitu di Perlis, Perak, Pahang dan DUN Bugaya di Sabah.
Nasib kesemua 1,386 calon Parlimen dan DUN akan ditentukan 21,173,628 pengundi yang akan membuat pilihan pada hari pengundian 19 November ini.
Jumlah calon gabungan Pakatan Harapan (PH) direkodkan paling tinggi bertanding di peringkat Parlimen iaitu seramai 220 calon termasuk enam calon Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) diikuti Barisan Nasional (BN) 178 calon, Perikatan Nasional (PN) 171 calon, manakala Pejuang yang mewakili Gerakan Tanah Air (GTA) termasuk sembilan calon daripada Putra sebanyak 125 calon.
SPR juga merekodkan seramai 108 calon Bebas yang mencuba nasib merebut kesemua kerusi Parlimen kecuali di Wilayah Persekutuan Labuan.
Bagi peringkat DUN pula, BN mempertaruhkan 117 calon, diikuti PH seramai 116 calon, PN (116 calon), Pejuang yang mewakili GTA (45 calon) manakala Bebas (24 calon).
PENCALONAN
Terdahulu dalam sidang akhbar khas, SPR menolak enam kertas pencalonan melibatkan empat pencalonan di kerusi Parlimen dan dua pencalonan kerusi DUN ketika urusan penamaan calon bagi PRU15 berlangsung.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, sebanyak 222 Pusat Penamaan Calon dibuka di seluruh negara bermula pukul 9 pagi hingga 10 pagi semalam untuk bakal-bakal calon mengemukakan kertas penamaan mereka yang turut melibatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya.
Menurut beliau, tiada kerusi menang tanpa bertanding dengan menyaksikan pertembungan paling tinggi sebanyak 10 penjuru di peringkat Parlimen iaitu Batu, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur manakala tujuh penjuru bagi DUN melibatkan Chenderiang, Perak.
“Kali ini sejumlah 222 kerusi Parlimen dan 117 DUN iaitu melibatkan Pahang, Perlis, Perak serta satu kerusi Bugaya dipertandingkan.
“Dengan selesainya urusan penamaan calon tersebut, maka tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan dipertandingkan sehingga 11.59 malam, 18 November ini,” kata beliau .
Sementara itu, berlaku kekecohan di Dewan DSP Antanom di Tenom, Sabah apabila polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata di pusat penamaan calon di situ apabila SPR menolak pencalonan, Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Malaysia (KDM), Datuk Peter Anthony.
Kejadian itu menyebabkan kira-kira 5,000 orang penyokong calon berkenaan tidak berpuas hati.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan kekecohan tersebut dan sedang menunggu laporan terperinci mengenai kejadian itu.- UTUSAN










