PETALING JAYA: Saingan menawan Putrajaya bermula hari ini apabila hampir 1,000 calon mewakili semua parti termasuk Sabah dan Sarawak memfailkan pencalonan masing-masing bagi memenangi hati 21 juta pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
PRU15 menjadi pilihan raya umum paling sengit dalam sejarah pilihan raya negara apabila menyaksikan pertembungan lebih empat penjuru bagi merebut 222 kerusi Parlimen dan 116 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri-negeri yang dibubarkan.
Antara gabungan besar PRU15 ialah Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Tanah Air Negara (GTA). BN diwakili parti MCA, MIC dan UMNO; PKR, DAP dan Amanah mewakili PH.
PN diwakili Parti Bersatu, Gerakan dan Pas manakala Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman), Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik serta profesional Melayu Islam mewakili GTA.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) merekodkan sebanyak 4,326 borang pencalonan dijual di seluruh negara melibatkan 3,036 Parlimen manakala 1,290 di peringkat DUN sehingga semalam.
Sabah menjadi negeri tertinggi iaitu 716 borang dijual diikuti Perak (326), Selangor (266), Kelantan (262) dan Johor (253). Bagi peringkat DUN, ia hanya melibatkan negeri Perak sebanyak 654 borang dijual, manakala Pahang (422), Perlis (153) dan di Ibu Pejabat SPR sejumlah 61 borang dijual.
PERATURAN
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, semua pihak yang terlibat dalam Hari Penamaan Calon esok (hari ini) diminta mematuhi peraturan SPR agar pelaksanaan proses berkenaan berjalan lancar.
Menurut beliau, ini terutama bakal-bakal calon, pengiring calon dan penyokong yang akan hadir di 222 Pusat Penamaan Calon (PPC) yang ditetapkan.
Kata Abdul Ghani, semua bakal calon yang mewakili mana-mana parti politik, mereka diingatkan menyertakan surat kebenaran menggunakan simbol parti yang diwakili semasa menyerahkan Kertas Penamaan Calon.
Beliau berkata, hanya calon, pencadang calon dan penyokong calon dibenarkan masuk ke Pusat Penamaan Calon.
Pada masa sama, beliau mengingatkan penggunaan semua jenis alat muzik atau pembesar suara bagi tujuan dakyah politik melalui apa-apa cara termasuk menerusi penggunaan apa jua jenis kenderaan, tidak dibenarkan pada Hari Penamaan Calon dan menjadi kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Orang awam serta penyokong-penyokong yang mengiringi calon dilarang menunggu atau berada dalam jarak 50 meter dari sempadan pusat penamaan calon yang ditetapkan.
“SPR menyeru kepada semua calon dan parti-parti politik terlibat agar sentiasa mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh SPR, polis dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pada hari berkenaan,” katanya.
AMARAN
Sementara itu, Pengarah Operasi PRU15, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Hazani Ghazali memberi amaran semua calon serta penyokong parti mengawal emosi masing-masing dan tidak mencetuskan provokasi sepanjang berada di pusat-pusat penamaan calon.
Menurut beliau, bagi memastikan proses penamaan calon lancar dan aman, PDRM menggerakkan dron di semua kawasan ‘titik panas’ pusat penamaan calon bagi tujuan pemantauan.
Kata beliau, selain itu, sebanyak 31,183 petugas beruniform dan tidak beruniform ditempatkan di semua pusat penamaan calon bagi menjaga keselamatan serta mengawal situasi.
“PDRM akan bersiap siaga bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjaga sepanjang tempoh penamaan calon hari ini.
“Semua pihak yang terlibat perlu memberi kerjasama mematuhi undang-undang dan mengelak daripada melakukan provokasi,” kata beliau kepada Utusan Malaysia.
Pada 30 Oktober lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, PDRM mengenal pasti kira-kira 100 kawasan berstatus hotspot dari segi kempen, sentimen emosi dan seumpamanya pada PRU15.
SPR menetapkan 19 November ini sebagai Hari Pengundian PRU15 selepas Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober lalu dengan tarikh pengundian awal pada 15 November dengan tempoh berkempen adalah 14 hari.
Ia turut meliputi pilihan raya serentak bagi mengisi kekosongan 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, 15 kerusi DUN Perlis dan 59 kerusi DUN Perak serta tambahan satu kerusi Pilihan Raya Kecil DUN Bugaya, Sabah akibat kematian penyandangnya. – UTUSAN










