PRU15: Calon KDM yakin peroleh 70 peratus sokongan rakyat

PRU15: Calon KDM yakin peroleh 70 peratus sokongan rakyat

WETROM Bahanda menunjukkan keadaan laluan tanah merah di Kampung Melangkap, Kota Marudu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA MARUDU: Walau pernah digelar katak kerana bertindak melompat keluar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), calon Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Wetrom Bahanda yakin sokongan rakyat terhadapnya masih kuat.

Beliau berkata, sehingga hari-hari terakhir berkempen ini, beliau boleh katakan sokongan rakyat terhadapnya telah mencapai lebih 70 peratus.

“Saya melihat semangat inginkan pembaharuan di Kota Marudu ini amat kuat dan saya yakin rakyat di peringkat akar umbi akan menyokong perjuangan kita demi masa depan yang lebih baik,” katanya semasa ditemui di Kampung Melangkap di Mukim Marak Parak hari ini.

Menurutnya, beliau tidak menyatakan dirinya sebagai ‘giant killer’ yang mampu menumbangkan penyandang kerusi Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili namun, beliau percaya angin perubahan yang rakyat inginkan akan membantu beliau mencapai kemenangan.

“Demi masa depan Kota Marudu, saya yakin, kita akan dapat tukar keadaan ini dengan menang pada pilihan raya ini,” katanya.

Menurut beliau, keputusan bertukar parti tidak akan menjejaskan sokongan terhadapnya kerana KDM merupakan parti tempatan yang berbilang kaum. Perjuangan parti ini seiring dengan kemahuan rakyat yang mahukan parti tempatan.

Wetrom yang juga Timbalan Presiden KDM itu berkata, sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), tumpuan akan diberikan bagi menaik taraf sistem jaringan jalan raya di kawasan Kota Marudu.

“Sebagai daerah yang mendapat jolokan antara daerah termiskin, jaringan jalan raya kita perlu dinaik taraf dengan segera kerana banyak kawasan tiada akses jalan raya yang baik.

“Keadaan itu menyebabkan rakyat dan masyarakat di sini tidak boleh membawa hasil pertanian keluar ke pekan. Jadi, salah satu cara meningkatkan ekonomi setempat, kita mesti ada jaringan jalan raya yang baik,” katanya.

Jelas beliau, masih ada kawasan yang tidak boleh diakses oleh kenderaan kecil kerana keadaan jalan berbatu sungai dan laluan tanah merah.

Sepanjang berkempen, banyak kawasan yang sukar dilalui tapi, beliau tetap sampai ke kawasan tersebut bagi merasai sendiri keadaan jalan yang digunakan oleh rakyat selama ini. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.