PRU15: Anggota tentera darat diingat tidak terlibat secara langsung dalam kempen - Utusan Malaysia

PRU15: Anggota tentera darat diingat tidak terlibat secara langsung dalam kempen

ZAMROSE Mohd. Zain (kanan) bersama veteran ATM, Mohd Yunus Sarip, 70 yang merupakan antara 472 orang penerima pada Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) Peringkat Negeri Sembilan di Auditorium Sebatang Karah, Kem Segenting, Port Dickson, hari ini.-UTUSAN/MOHD SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT DICKSON: Anggota tentera darat diingatkan agar tidak terlibat secara langsung sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain bagaimanapun berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah sekiranya mereka mahu mengikuti ceramah politik yang diadakan.

“Kalau mahu dengar syarahan boleh pergi lah, tetapi datang sebagai individu jangan datang sebagai parti politik terjerit sana sini.

“Kalau tidak membenarkan mereka pergi, straight (tegas) sangat pun tidak boleh kerana di media sosial banyak terdapat kempen secara langsung, tidak boleh terlalu tegas sangat.

“Saya juga telah memaklumkan Panglima-panglima saya supaya tidak terlalu tegas. Cuma janganlah (sehingga) bawa sepanduk, mereka (anggota tentera) sudah cerdik dan kami sekarang lebih terbuka sedikit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Peringkat Negeri Sembilan di Kem Segenting di sini hari ini.

Yang hadir sama, Panglima Medan Timur, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), Mejar Jeneral Zambery Jefry Darus.

Pada majlis berkenaan, seramai 472 orang veteran ATM menerima pingat PJM.

Zamrose memaklumkan, anugerah hari ini diberikan kepada veteran tentera yang telah berkhidmat dalam operasi menentang Parti Komunis Malaya (PKM) dari 1 Januari 1969 sehingga 2 Disember 1989.

Pingat yang sama juga dianugerahkan kepada anggota veteran ATM yang menentang Pasukan Komunis Kalimantan Utara dari 1 Januari 1969 sehingga 17 Oktober 1990.

Penganugerahan PJM telah dilaksanakan mulai Mac 2004 merupakan pengiktirafan kepada anggota tentera di atas sifat keperwiraan, keberanian, pengorbanan dan kesetiaan dalam menyumbang kepada kebebasan Malaysia daripada ancaman pengganas komunis.

Sehingga kini, terdapat 32,440 warga veteran ATM telah menerima pingat berkenaan.-UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya