KUALA LUMPUR: Isu projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion tidak wajar dianugerahkan secara rundingan terus kepada syarikat yang berdepan dua petisyen muflis di mahkamah kerana tidak membayar hutang.
Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, rundingan terus sesuatu projek perlu mengikut beberapa kriteria antaranya seperti teknologi yang diperlukan untuk projek tersebut hanya terdapat di syarikat tertentu sahaja dan tiada teknologi kepada pembida lain.
“Tengku Zafrul (Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz) boleh sebut bahawa semua prosedur sudah dibuat tetapi sekiranya ia mengikut prosedur, perkara ini tidak sepatutnya terjadi.
“Tidak boleh ada syarikat yang ada dua petisyen muflis difailkan terhadapnya boleh dapat projek secara rundingan terus untuk RM2 bilion, secara automatik syarikat tersebut tidak layak,” kata beliau semasa sidang media di sini hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Rafizi menggesa Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man tampil memberi penjelasan berhubung status kelulusan projek tersebut.
MENUNGGU
Susulan pendedahan tersebut, Rafizi mendakwa, ramai pemimpin Pas berdiam diri sebaliknya menunggu orang membantu memberi jawapan bagi pihak Tuan Ibrahim.
“Saya hargai budak-budak ini tetapi sebahagiannya tidak menjawab persoalan penting, saya ingat mereka tidak faham kerana mereka mempersoalkan apa salahnya rundingan secara terus.
“Untuk pengetahuan orang ramai, rundingan terus hanya boleh digunakan di dalam kes-kes yang unik dan tertentu sahaja. Ada berapa pertimbangan membolehkan sama ada kontrak perolehan awam atau swasta tidak perlu buat tender secara terbuka dan memilih jalan secara terus itu pun perlu keputusan di peringkat tertinggi kerana proses tersebut ada kriteria-kriteria tertentu.
“Ia sekiranya projek itu perlu teknologi khusus yang tiada pada pembida lain. Takkanlah untuk membuat projek infrastruktur yang berbentuk kejuruteraan awam hanya satu syarikat sahaja ada kepakaran untuk membuat projek tersebut,” katanya.
Sehubungan itu, kata beliau, dalam isu tersebut Tuan Ibrahim tidak boleh ‘cuci tangan’ seolah-olah beliau tidak tahu menahu mengenai projek tersebut kerana lazimnya kementerian yang akan menetapkan bentuk perolehan yang akan digunakan untuk sesuatu projek.
“Projek ini bermula daripada kementeriannya sebab itu Tuan Ibrahim perlu menjelaskan secara terbuka mengenai latar belakang projek ini. Adakah kementeriannya sendiri yang memohon kepada Kementerian Kewangan untuk menjalankan projek tersebut secara rundingan terus,” soal Rafizi. – UTUSAN










