Polis serius banteras penjualan ganja dalam cecair vape -

Polis serius banteras penjualan ganja dalam cecair vape

DADAH kini dijual dalam talian dalam bentuk vape
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan wujud modus operandi penjualan ganja dalam cecair rokok elektronik (vape) seperti laporan Utusan Malaysia di sini hari ini.

Setiausaha Polis Malaysia (SUPM) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Mohd. Saaduddin berkata, tindakan membanteras penjualan ganja menerusi vape sedang diambil PDRM ketika ini.

Kata beliau, PDRM melaporkan kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dalam bentuk cecair vape di sekitar Lembah Klang pada 15 Oktober lalu.

“Dalam operasi tersebut PDRM telah menyita dadah serta harta bernilai RM3.47 juta serta berjaya menahan tujuh tujuh suspek di bawah Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952.

“PDRM serius dalam pembanterasan segala aktiviti melibatkan pengedaran dan penyalahgunaan dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas beliau, tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana pihak terlibat dalam apa juga aktiviti yang melibatkan bahan larangan ini.

“Masyarakat diseru agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka melalui hotline JSJN di talian 012-208 7222,” jelasnya.

Utusan Malaysia melaporkan perniagaan cecair vape yang mengandungi dadah semakin berleluasa dalam talian apabila ia kini dipasarkan secara terang-terangan kepada pengguna bahan tersebut.

Penjual-penjual dadah berbentuk cecair itu boleh dilihat dalam laman sosial seperti Facebook, Instagram dan setiap penjual mempunyai kumpulan Telegram yang menghimpunkan maklum balas daripada pembeli-pembeli terdahulu.

Ia dijual dengan harga se¬tinggi RM160 untuk satu botol bagi 10 milimeter dan sekiranya pengguna membeli secara banyak dalam satu pembelian iaitu sebanyak 10 botol, harganya akan menjadi RM1,200.

Melalui penyamaran Utusan Malaysia sebagai pembeli, penjual mendakwa cecair vape itu mengandungi cannabidiol (CBD) iaitu antara kandungan bahan aktif yang boleh ditemukan dalam kanabis.

Menurut gambar yang dihantar, penjual berkata, terdapat label atau ‘jenama’ yang mempunyai kesan lebih kuat kepada pengguna iaitu membuat pengambil berasa khayal berbanding jenama lain.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya