Phahrolrazi terus kempen untuk PH walaupun dipecat Amanah

Phahrolrazi terus kempen untuk PH walaupun dipecat Amanah

PHAHROLRAZI Mohd. Zawawi (duduk, kanan) ketika membantu kempen Anwar Ibrahim dan Pengerusi Amanah Perak yang juga calon DUN Manjoi, Datuk Asmuni Awi di Perak, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Meskipun sudah dipecat Parti Amanah Negara (Amanah), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu, Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi tetap bekerja keras dan menjalankan kempen untuk Pakatan Harapan (PH) di serata tempat.

Selepas ke Tambun, Perak bagi menyertai perarakan bersama penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari penamaan calon, Phahrolrazi kemudiannya dilihat menyertai kempen calon PH di Alor Setar, Simon Ooi Tze Min sebelum ke Sik bagi membantu kempen calon PH di Parlimen itu, Datuk Latipah Md Yatim.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Phahrolrazi berkata, beliau menjalankan kerja-kerja itu atas kapasiti peribadi kerana mahu melihat PH menang sekali gus mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Saya kini tidak bergerak atas kapasiti mana-mana parti sebaliknya bertindak secara peribadi. Saya yakin, masih memiliki kemampuan untuk membantu calon-calon PH menang di negeri ini.

“Impian saya mahu menyaksikan Anwar menjadi Perdana Menteri. Sebab itu, saya terus berkempen agar PH mencapai kemenangan di seluruh tanah air,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Pada 30 Oktober lalu, Setiausaha Agung Amanah, Datuk Mohd. Hatta Md. Ramli mengumumkan pemecatan Phahrolrazi serta-merta kerana melanggar perlembagaan parti, mengingkari keputusan parti dan melakukan perbuatan bertentangan dengan kepentingan parti.

Keputusan itu dipercayai ada kaitan dengan tindakan Phahrolrazi mempertahankan keputusan sebulat suara Amanah negeri sebelum itu yang tidak bersetuju dengan langkah meletakkan calon DAP bertanding di Parlimen Jerai dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menjelaskan keputusannya yang terus berkempen untuk PH walaupun pernah mengeluarkan kenyataan untuk tidak terlibat dalam apa-apa proses pilihan raya sekiranya DAP terus dibenarkan bertanding di Jerai, Phahrolrazi turut memiliki jawapan terhadap persoalan tersebut.

“Keputusan untuk memboikot PRU itu dibuat secara sebulat suara oleh Amanah negeri. Sekarang saya bukan lagi dalam Amanah, jadi saya terus bertindak atas kapasiti peribadi selaku penyokong PH,” katanya.

Mengulas lanjut Phahrolrazi berkata, setakat ini beliau belum memikirkan sama ada mahu membuat rayuan kepada Amanah atau menyertai parti-parti lain dalam komponen PH.

Bekas Pengerusi Amanah Kedah itu berkata, perkara itu hanya akan dipertimbang dan dibincangkan bersama para penyokongnya selepas PRU15.

“Ketika ini saya akan fokus membantu kemenangan calon PH. Penyokong saya juga diminta melakukan perkara sama iaitu memastikan kemenangan buat PH tanpa ada dendam kepada mana-mana pihak.

“Cumanya untuk mereka yang mengundi di Jerai, itu terpulanglah kepada budi bicara mereka untuk buat keputusan. Isu tersebut sensitif sikit tetapi di kawasan-kawasan lain, memang kami akan sokong PH termasuk dalam kalangan calon-calon Amanah,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN