PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) menutup pintu kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) walaupun gagal mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan Pusat selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Sebaliknya, PH yang mewakili PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) memilih untuk bersama gabungan parti dari Sabah atau Sarawak bagi membolehkan pembentukan kerajaan stabil.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, sekiranya PH memperoleh kerusi terbanyak atau mencapai sehingga 100 kerusi, seharusnya mana-mana gabungan Sabah atau Sarawak memilih PH untuk membentuk kerajaan demi kestabilan negara.
Bagaimanapun, kata calon Parlimen Pandan itu, ketika ini, parti-parti dalam PH perlu terus fokus bekerja keras untuk meraih sokongan rakyat, sekali gus berupaya memenangi lebih banyak kerusi atau sehingga 100 kawasan Parlimen.
Menurut beliau, idea bergabung dengan parti-parti dari Sabah dan Sarawak hanya akan dilihat selepas keputusan PRU15.
“Maksudnya apabila ada gabungan melibatkan sama ada Sabah atau Sarawak, kerajaan gabungan yang mahu dibentuk itu kenalah kerajaan yang stabil dengan mengambil kira kepentingan Semenanjung dan Sabah serta Sarawak. Saya yakin itu juga akan dipertimbangkan oleh gabungan parti di Sabah dan Sarawak.
GABUNGAN
“Contohnya PH dapat 100 kerusi dan apabila dipersetujui akhirnya untuk membentuk kerajaan antara PH dengan salah satu gabungan parti dari Sabah atau Sarawak, kerajaan itu mungkin memperoleh majoriti 125 kerusi.
“Kalau PH dapat 100 kerusi tambah lagi 25 kerusi, kita jadi kerajaan kuat, maka tidak timbul soal kerajaan jatuh atau bertukar seperti sebelum ini dan PH boleh beri fokus kepada perancangan lima tahun untuk membagunkan negara.
“Kalau PH tak menang katakan dapat hanya 70 atau 80 kerusi manakala BN dapat 90 kerusi maka sudah tentu kerajaan stabil adalah BN dengan ditambah gabungan Sarawak dan Sabah. Jadi saya tak nampak itu sebagai satu masalah,” katanya.
Namun, kata Rafizi, sekiranya salah satu gabungan parti politik Sabah atau Sarawak menolak PH yang menang lebih banyak kerusi seterusnya memilih untuk bekerjasama dengan BN atau PN, kerajaan yang bakal ditubuhkan itu akan menjadi lemah.
“Ambil BN sedikit, ambil PN sedikit mungkin jadi kerajaan 112 kerusi atau 115 kerusi. Jadi hendak mentadbir itu sebenarnya boleh, sebab gabungan Sabah dan Sarawak ada sejarah lebih lama dengan tokoh-tokoh BN mahupun PN.
“Namun mereka harus fikir panjang dan payah kalau kerajaan ada 115 kerusi nanti undang-undang tidak lepas, bajet ada masalah dan berebut sesama sendiri.
“Jadi sahabat pimpinan parti politik Sabah atau Sarawak kena ada kesedaran iaitu kita tidak boleh dalam tempoh lima tahun lagi ada kerajaan sekejap macam ini, sekejap berkecamuk,” kata beliau.
Dalam masa sama, Rafizi terus mengingatkan semua pimpinan PKR dan parti komponen PH untuk tidak berunding atau bincang belakang untuk bergabung kerana masa ini bukan masanya untuk berbuat demikian.
“Ini masanya untuk kita betul-betul mendapat sokongan terbaik masing-masing dalam tempoh tiga minggu kempen PRU15.
“Bergabung hanya dengan parti-parti gabungan dari Sabah dan Sarawak tetapi tidak bersama PN atau BN,” tegas beliau.- UTUSAN










